Noradilah Abd Kadir sebak ketika menatap foto Allahyarham suaminya, Mohd Ikram Bakri yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika membersihkan kediaman terjejas banjir Selangor ketika ditemui di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kakitangan MBSJ bantu mangsa banjir sakit jantung sebelum meninggal dunia

PETALING JAYA, 11 JAN: Kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang meninggal dunia ketika membantu mangsa banjir pada 5 Januari lalu sentiasa mengutamakan insan kurang bernasib baik.

Isterinya, Noradilah Abd Kadir, 36, berkata sebelum kejadian Mohd Ikram Bakri ada mengadu penat namun tetap mahu membantu membersihkan rumah mangsa terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Noradilah Abd Kadir, sebak selepas menerima sumbangan daripada Dato’ Menteri besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dia tetap mahu ke sana kerana sudah berjanji, jam 12 tengah hari saya dapat panggilan suami pengsan dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Puchong.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, suami sempat memegang perut saya (mengandung tujuh bulan anak pertama) dan berpesan supaya jaga anak kami dengan baik,” katanya sebak mengenangkan saat-saat akhir bersama Allahyarham.

Noradilah menjelaskan arwah suaminya juga suka bersedekah dan membantu golongan susah sepanjang hayatnya.

Mohd Ikram, 39, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika membersihkan kediaman terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Noradilah di Taman Indah Jaya di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni Noradilah Abd Kadir di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tambah Noradilah, Allahyarham cukup teruja apabila mengetahui mereka bakal menimang anak pertama selepas mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun malah sudah memilih nama anak.

“Kami dijangka dapat anak lelaki dan suami mahu memberi nama Muhammad Zayne Rafael, sayangnya dia tidak dapat menatap wajah anak kami.

“Saya akan memegang amanah suami supaya menjaga anak kami ini dengan sebaiknya,” katanya yang berterima kasih dengan sumbangan diberikan Kerajaan Negeri kepada keluarganya.


Pengarang :