Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor sedia berdepan gelombang kedua banjir

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Negeri bersiap sedia berdepan gelombang kedua banjir sekiranya perkara itu berlaku.

Dato’ Menteri Besar berkata mesyuarat bersama Jawatankuasa Bencana semalam ada membincangkan kemungkinan tersebut dan bersedia sepenuhnya.

“Kita belajar daripada pengalaman lepas dan kena bersedia serta penambahan aset akan dilaksana untuk persediaan masa depan atau digunakan untuk membantu rakan-rakan ketika berlaku banjir.

“Selain itu, mesyuarat bersama EXCO juga membincangkan bantuan sokongan lain seperti institusi pendidikan, masjid, surau, perniagaan dan pertanian, namun kita fokus dahulu dengan Bantuan Selangor Bangkit (BSB),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunaikan solat hajat ketika Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Amirudin, setakat ini BSB yang khusus untuk mangsa banjir meningkat kepada lebih 3,000 individu.

“BSB sedang giat diagihkan di setiap daerah dan yakin menjelang akhir Januari berjaya diselesaikan,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Amirudin menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari ini.

 


Pengarang :