Selangorkini
Sebahagian penerima sumbangan Tahun Baru Cina Pekawanis DUN Lembah Jaya yang disempurnakan Datin Seri Masdiana Muhammad pada 28 Januari 2022. Foto Facebook Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor – Pekawanis
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis peruntuk RM196,000 agih sumbangan Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 29 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM196,000 kepada 49 Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Yang Dipertua Datin Seri Masdiana Muhammad berkata setiap DUN mengagihkan sumbangan wang tunai RM100 kepada 30 individu sementara selebihnya untuk penganjuran program atau pembelian keperluan asas kepada penerima.

“Individu yang menerima bantuan terdiri daripada golongan ibu tunggal, warga emas dan kurang berkemampuan (B40).

“Setakat ini, agihan sudah bermula sejak minggu lalu dan dijangka selesai penghujung bulan ini. Antara DUN yang menerima sumbangan ialah Sungai Tua, Lembah Jaya dan Gombak Setia,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama Masdiana berharap sumbangan diagihkan itu dapat meringankan beban penerima terutama mereka yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina.

Tahun lalu, Pekawanis giat menganjurkan pelbagai program antaranya penyerahan alatan pembelajaran kepada taska anak petugas hadapan Selangor sekitar November tahun lalu dan tadabbur al-Quran.

Pertubuhan itu turut menambah baik organisasi dengan mewujudkan lima biro bagi menggalakkan penglibatan ahli membabitkan perayaan dan kebudayaan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar, pendidikan dan kerohanian, sukan dan rekreasi serta media.


Pengarang :