Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bergambar bersama Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Datuk Haris Kasim (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS Ahmad Fariz Hassan sempena pelancaran logo baharu KPS di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kumpulan Perangsang tumpu bidang pembuatan, sasar pendapatan tumbuh 10 peratus

SHAH ALAM, 28 FEB: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) menyasarkan pertumbuhan tahunan pendapatan sekitar lima hingga 10 peratus peratus susulan fokus operasi pelaburan syarikat itu yang kini beralih kepada sektor pembuatan daripada sektor infrastruktur dan utiliti.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS Ahmad Fariz Hassan berkata, buat masa ini sektor pembuatan menyumbang sekitar 85 hingga 90 peratus kepada pendapatan keseluruhan syarikat susulan pelaksanaan Program Transformasi Perniagaan (BTP) yang dimulakan sejak 2016.

“Sejak 2016, KPS telah melabur di beberapa syarikat pembuatan tempatan dan kini sedang giat meneroka peluang yang sama di luar negara,” katanya pada sidang media selepas pelancaran logo baharu KPS yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, di sini hari ini.

KPS telah melabur di beberapa syarikat pembuatan terkemuka termasuk Kaiserkorp Corp Sdn Bhd, pemilik jenama global King Koil® dan Century Bond Bhd, penyedia penyelesaian pengemasan terintegrasi pada 2016, CPI (Penang) Sdn Bhd pada 2018 dan Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd pada 2019, yang mana kedua-duanya adalah syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik.

Katanya, berikutan BTP, syarikat itu telah berjaya meningkatkan jumlah pendapatan daripada RM200 juta pada 2016 kepada RM1.3 bilion pada tahun lepas, hasil pertumbuhan memberangsangkan yang dicatatkan oleh anak-anak syarikat.

“Selain beroperasi di luar Selangor seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor, KPS turut berada di Amerika Syarikat, China, Indonesia dan Vietnam dengan operasi perniagaan di luar negara kini menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pendapatan syarikat,” katanya.

Ahmad Fariz berkata, kini rantaian nilai perniagaan KPS telah melangkaui lebih 90 negara dengan profil pelanggan terdiri daripada syarikat-syarikat multinasional.

Terdahulu, Pengerusi KPS Datuk Haris Kassim dalam ucapannya berkata, penjenamaan semula logo baharu itu adalah berdasarkan evolusi identiti KPS yang lebih progresif, dinamik dan global untuk kekal relevan di arena pelaburan perniagaan dan memenuhi jangkaan baharu pihak berkepentingan.

“Saya yakin proses penjenamaan semula identiti KPS hari ini akan terus mengukuhkan lagi ekuiti jenama KPS pada masa akan datang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :