Ketua Kluster Penciptaan Nilai Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Daud Abd Rahman (kanan) menyampaikan cek cura bernilai RM75,000 kepada Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali Abdullah (kiri) di ibu pejabat Yide, Shah Alam pada 10 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI sumbang RM75,000, tampung kos bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 10 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalur bantuan berjumlah RM75,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) untuk menampung kos pembinaan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Ketua Kluster Penciptaan Nilai Daud Abd Rahman berkata dana hasil sumbangan anak syarikat meliputi Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) termasuk MBI.

“Kita harap sumbangan ini dapat membantu mencukupkan jumlah diperlukan Yide untuk pembinaan kompleks anak yatim iaitu berjumlah RM12 juta sekali gus memanfaatkan golongan berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan cek cura kepada Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah dengan disaksikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor di ibu pejabat yayasan terbabit di Seksyen 7 dekat sini hari ini.

Sementara itu Ahmad Azri berkata pihaknya bersedia untuk menambah peruntukan sekiranya diperlukan untuk pembinaan kompleks yang dijangka bermula Julai tahun ini.

“Kita sudah maklumkan kepada semua anak syarikat, insya-Allah kita akan bantu jika ada keperluan tidak mencukupi.

“Malah, saya difahamkan akan berlangsung majlis pecah tanah bag pembangunan projek berkenaan oleh Yide tidak lama lagi yang akan dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.

 


Pengarang :