Menara pemancar telekomunikasi menghempap kabin yang terletak di belakang Surau Al Ansar di kawasan perumahan Seri Palma, Bandar Seri Botani, Ipoh dalam kejadian ribut pada 20 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Menara pemancar setinggi 30 meter tumbang akibat ribut, hempap kabin surau

IPOH, 21 FEB: Sekumpulan jemaah yang sedang menunaikan solat asar di Surau Diri Jumaat Al-Ansar di kawasan perumahan Seri Palma, Bandar Seri Botani di sini gempar apabila mendengar bunyi dentuman yang diiringi guruh dalam kejadian ribut semalam.

Semsudin Abu Baker, 71, berkata mereka bagaimanapun tetap meneruskan solat ketika mendengar bunyi itu yang terhasil akibat runtuhan menara telekomunikasi pada 4.47 petang.

“Seusai solat, kami meninjau tempat di mana bunyi dentuman itu kedengaran dan melihat sebuah menara stesen pemancar rangkaian telekomunikasi setinggi 30 meter tumbang serta menghempap kabin yang terletak di belakang surau hingga musnah.

“Syukurlah kabin yang digunakan sebagai premis penginapan siak itu tidak berpenghuni sewaktu kejadian berlaku,” katanya kepada pemberita di lokasi terbabit hari ini.

Sementara itu, pengerusi surau Mohd Fadzli Ahmad berkata beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam insiden itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed pula berkata pemilik menara itu Prosontech Sdn Bhd (Prosontech) akan menguruskan ganti rugi kerosakan kepada pihak surau.

Beliau berkata sebagai penyelesaian jangka pendek, stesen pangkalan mudah alih akan digunakan untuk menyediakan liputan rangkaian selular sementara di lokasi terbabit.

“Kira-Kira 1,000 pengguna perkhidmatan Digi Telecommunications Sdn Bhd dijangka mengalami kekurangan kapasiti ketika ini, jadi mereka diharap bersabar kerana keadaan akan kembali pulih selewat-lewatnya Jumaat ini.

“Pada asasnya, tiada gangguan teruk kerana terdapat menara telekomunikasi lain yang berhampiran namun menara sementara akan disediakan bagi memastikan kualiti rangkaian,” katanya.

Khairul Shahril juga berkata Prosontech akan menggantikan struktur runtuhan dengan segera selepas mengemukakan pelan perancangan dan reka bentuk menara baharu mengikut spesifikasi yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

— BERNAMA

 


Pengarang :