Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA sedia bas percuma esok, bawa mangsa banjir terima bantuan negeri

SHAH ALAM, 21 FEB:  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk membawa mangsa banjir ke program Bantuan Selangor Bangkit (BSB), esok.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan perkhidmatan melintasi dua laluan dari Dewan Kampung Sungai Kandis dan Padang Rakyat Kambung Jalan Kebun menuju Dewan Kemuning.

Berdasarkan info grafik dikongsi menerusi Facebook MBSA, pergerakan bas bermula jam 2 petang hingga 9 malam dengan kekerapan bas adalah setiap sejam.

Semalam, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata perkhidmatan itu tidak terhad untuk satu-satu masa sahaja sebaliknya akan diteruskan sehingga bantuan negeri kepada penduduk terjejas selesai.

Shahrin Ahmad berkata pergerakan bas untuk program BSB berikutanya akan dimaklumkan di media sosial MBSA antaranya Facebook dan Twitter dari semasa ke semasa.

Hujan lebat luar biasa antara pada Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.


Pengarang :