Ketua Projek Kenderaan Elektrik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Samsul Haimi Dahlan (kanan) melihat rakan penyelidiknya Dr Xavier Ngu (tengah) dan Mohd Rostam Anuar (kiri) ketika mereka memeriksa kenderaan berkenaan yang diberi nama Eco untuk sesi uji kaji. Kenderaan yang menggunakan sepenuhnya tenaga elektrik ini berfungsi untuk mengangkut barangan ringan. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Pakar: Stigma TVET pendidikan kelas kedua perlu dihapus

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Perkembangan dan keperluan industri dewasa ini yang lebih terarah kepada penggunaan teknologi pintar menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), menuntut sumber manusia yang mempunyai kemahiran khusus atau niche.

Bagi memastikan negara ini tidak ketinggalan dalam mengadaptasi IR 4.0, kerajaan kini memberi lebih penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan seawal 1970, dengan tumpuan pada komponen praktikal, kemahiran psikomotor serta latihan di industri.

Komitmen kerajaan terhadap revolusi TVET dicerminkan dalam belanjawan setiap tahun dengan Belanjawan 2022 memperuntukkan RM6.6 bilion, iaitu antara peruntukan terbesar pernah diberikan bagi memperkasa bidang TVET.

Namun begitu, stigma bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua dan hanya untuk individu yang kurang cemerlang dalam akademik masih utuh dalam kalangan masyarakat, menyebabkan ada ibu bapa yang keberatan membenarkan anak mereka mengikuti program TVET selain lulusan bidang itu juga dipandang rendah.

Stigma lapuk

Mengulas persoalan itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohamad Sattar Rasul berkata stigma tersebut seharusnya sudah tidak wujud kerana TVET mempunyai laluan kerjaya yang sangat jelas.

Jelas beliau, evolusi TVET amat membanggakan kerana pada era 1970-an dan 1980-an sistem pendidikan TVET hanya setakat sijil kemahiran dan tiada kesinambungan, iaitu tidak ada peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Jika kita lihat situasinya sekarang, laluan pendidikan TVET lebih mudah. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar kurang cemerlang di peringkat PT3 atau SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka masih boleh menyambung pendidikan di peringkat sijil di kolej vokasional atau kolej komuniti.

“Kemudian, mereka boleh sambung belajar ke peringkat diploma di politeknik sebelum meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di pelbagai universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) seperti Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Evolusi sistem pendidikan TVET yang mapan ini juga menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan bagi negara ASEAN lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand,” jelasnya kepada Bernama.

Mengulas lebih lanjut, katanya beliau juga tidak nampak ada jurang pemisah yang ketara di antara lepasan akademik dan TVET, khususnya dari segi kebolehpasaran.

“Bahkan negara kita sebenarnya memang amat memerlukan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang teknikal, bukan hanya tinggi kognitif dan cemerlang akademik semata-mata,” tambah beliau.

Banyak kelebihan

Mohamad Sattar berkata TVET mempunyai kelebihan tersendiri, antaranya membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran diri kerana didedahkan kepada inovasi dalam konteks dunia pekerjaan yang sebenar.

Ini kata beliau memudahkan lepasan TVET mendapatkan pekerjaan selain membuka peluang kepada diri untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu apabila mereka memanfaatkan kemahiran dengan menceburi bidang keusahawanan.

Menurut beliau, ibu bapa yang inginkan anak mereka mengikuti pengajian berasaskan teknikal dan vokasional juga tidak perlu risau kerana kursus yang ditawarkan oleh institusi berkaitan diiktiraf dan dipantau oleh agensi serta badan pengiktirafan di Malaysia seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan badan profesional lain.

Pada masa ini terdapat 434 institut latihan kemahiran awam (ILKA) dan 753 institut latihan swasta di Malaysia yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Penuhi keperluan industri

Sementara itu, Dekan Kanan Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP Prof Dr Abdullah Ibrahim pula berkata kebiasaannya lepasan TVET mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri, justeru prospek kebolehpasaran mereka agak luas.

Perkara itu, katanya boleh dilihat pada kadar kebolehpasaran mereka setiap tahun dengan 87 peratus dicatatkan pada 2020, yang mana 66.8 peratus daripada mereka diterima bekerja oleh pelbagai industri.

Dalam usaha meningkatkan tenaga kerja teknikal dan vokasional, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 menyasarkan lebih 55 peratus pengambilan lepasan SPM ke program TVET selain mencapai 86.7 peratus kadar kebolehpasaran lepasan TVET menjelang 2025.

Menurut Abdullah, komitmen kerajaan terhadap TVET diperkukuhkan lagi dengan pelbagai inisiatif, antaranya mewujudkan Majlis TVET Negara selain menyediakan peruntukan besar bagi memperkasa program itu melalui tiga teras strategik, iaitu Tadbir Urus Bersepadu; TVET Mencorak Masa Hadapan; dan TVET Dipacu Industri.

Selain itu, kerajaan juga menubuhkan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) yang dilihat boleh menyediakan ekosistem program TVET yang lebih bersepadu.

“GITC perlu digerakkan seaktif yang mungkin kerana inilah yang akan menjadi kunci kejayaan program yang melibatkan penghasilan tenaga kerja mahir atau separa mahir,” katanya, menambah program TVET kini juga membuka laluan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Dalam pada itu, beliau berpandangan lepasan TVET peringkat diploma ke bawah mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi.

“Apatah lagi dalam era pascapandemik ini dengan kebanyakan industri mula memperkasakan semula operasi mereka dan memerlukan tenaga kerja mahir, sekali gus menjadikan keperluan terhadap lepasan TVET sentiasa berterusan,” kata Abdullah.

Terus kemas kini kurikulum

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan penyedia program TVET mengemas kini kurikulum pembelajaran agar lepasan yang dihasilkan mereka kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Ini katanya termasuk mendedahkan pelajar kepada teknologi pintar seperti Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Di UMP misalnya, kita mengambil inisiatif dengan menawarkan program-program TVET peringkat ijazah seperti Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Teknologi Kejuruteraan dalam pelbagai disiplin bagi memastikan pengetahuan yang disebutkan tadi merentasi kurikulum semasa.

“Hubungan akrab UMP dan industri memudahkan lagi universiti untuk terus memperkasa program TVET berdasarkan saranan dan nasihat pihak industri,” tambah beliau.

Didikan secara motivasi

Kejayaan program TVET menghasilkan tenaga pakar juga tidak boleh disangkal seperti yang dicapai oleh Dr Halim Razali, Felow Penyelidik Kanan di Institut Tenaga Suria (SERI), UKM.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan (Bahan) daripada Pusat Latihan Staf Politeknik UTHM, berkata didikan secara motivasi dan nasihat yang berterusan daripada pensyarah banyak membantunya untuk berjaya dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Kehidupan saya sebagai pelajar agak sukar kerana ketiadaan biasiswa pada ketika itu dan bergantung sepenuhnya pada ibu bapa yang hanya bekerja sebagai petani di kampung bagi membiayai pengajian saya.

“Namun guru-guru banyak memberikan motivasi dan alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan (Teknikal-TVET) di UTHM dan PhD di UKM,” katanya yang juga pensyarah di SERI.

Halim pernah menerima Anugerah Buku Negara pada 2013 menerusi bukunya yang bertajuk “Hidrogen Bahan Api Alternatif Enjin Pembakaran Dalam”, selain Anugerah Emas pada Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2013 melalui inovasi Motosikal Berkuasa Hidrogen.

Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Bukul Ilmiah Terbaik kategori sains, teknologi dan perubatan, anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia pada 2016.

“Sememangnya kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya,” tambah beliau.

– BERNAMA


Pengarang :