Orang ramai mengunjungi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor terus main peranan aktif sedia persekitaran niaga, pelaburan terbaik

PETALING JAYA, 8 FEB: Kerajaan Selangor akan terus memainkan peranan aktif dalam menyediakan persekitaran perniagaan dan pelaburan terbaik.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menyokong pemulihan ekonomi negeri ini selepas melalui tempoh mencabar susulan pandemik Covid-19 dan bencana baru-baru ini.

“Menurut Kumpulan Bank Dunia pada 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam Indeks Kemudahan Menjalankan Perniagaan. Jadi, saya percaya Selangor boleh menawarkan persekitaran terbaik dan kondusif untuk perniagaan beroperasi di negeri ini.

“Saya juga yakin dengan usaha sekarang, Selangor akan terus menjadi destinasi aman dan makmur untuk semua orang serta bersedia menangani sebarang kegawatan ekonomi pada masa hadapan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kehadiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis Jamuan Makan Malam Perayaan Tahun Baru Cina di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis makan malam Tahun Baharu Cina peringkat Selangor di Hotel Sheraton dekat sini malam ini.

Hadir sama, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ hasan Azhari Idris.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 182 projek pelaburan di Selangor diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sepanjang tempoh sembilan bulan pertama 2021, tertinggi dalam negara.

Beliau menjelaskan projek tersebut menyediakan sebanyak 12,226 peluang pekerjaan kepada pekerja di Selangor, angka tertinggi berbanding di negeri lain.

“Dengan aktiviti perniagaan berterusan serta aliran masuk pelaburan ini, Selangor pastinya akan terus menarik golongan profesional mahir dan separuh mahir untuk menggelarkan Selangor sebagai rumah mereka.

“Selangor juga boleh menawarkan pelbagai bahasa dan etnik sebagai salah satu kelebihan daya saing modal insan utamanya terutama kepada pelabur asing dan syarikat multinasional akan datang,” katanya.

 


Pengarang :