Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam melakukan pemantauan di Kampung Buluh, Setiu Terengganu yang dilanda banjir pada 26 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu, Kelantan makin buruk, bilangan mangsa pindah meningkat

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan masing-masing 3,434 orang dan 2,186 orang, setakat 5 petang ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 67 PPS dibuka di lima daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun membabitkan 985 keluarga.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh), Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas), Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak), Jalan Air Putih (susur keluar Tol Chukai) dan Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi) di Kemaman.

Selain itu, Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Jerubun), Besut; Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan), Setiu; Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang), Dungun dan Jalan Simpang Gaung-Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping) dan Jalan Bukit Diman-Tersat (Kampung Pengkalan Ajal), Hulu Terengganu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, lapan sungai iaitu Sungai Chalok, Sungai Setiu dan Sungai Nerus di Setiu; Sungai Telemong, Sungai Marang (Marang),  Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Hulu Terengganu serta Sungai Dungun telah melepasi paras bahaya.

Di KELANTAN, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta tahunan, walaupun situasi yang dihadapi ketika ini dianggap sebagai air hujan bertakung.

“Begitu juga warga emas atau orang dewasa yang mahu pergi melihat haiwan ternakan dan sebagainya sekiranya ditenggelami air, kalau boleh pergi ke tempat tersebut biarlah berteman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, di sini hari ini.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan, sebanyak 30 PPS dibuka masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tujuh di Pasir Mas dan lima di Jeli melibatkan 622 keluarga.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 35.27 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.69m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (22.04m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.13m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.42m).

— BERNAMA

 


Pengarang :