Pelajar mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam pada 2 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bacaan Yasin sambut, tenangkan calon SPM di SMK Seksyen 7 dan 18

SHAH ALAM, 2 MAC: Bacaan Yasin dialun secara maya bagi menyambut kedatangan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 dan 18 di sini pagi tadi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seksyen 7 Datuk Mohd Isa Ishak berkata bacaan ayat suci bermula 7.45 hingga 8.15 pagi bagi menenangkan pelajar dalam menghadapi peperiksaan berkenaan.

“Kita bergabung dengan SMK Seksyen 18 dipimpin imam sukarela melakukannya secara maya sehingga tamat peperiksaan pada 29 Mac,” katanya ketika ditemui.

Mohd Isa berkata PIBG turut menaja sarapan pagi untuk 381 calon SPM di SMK Seksyen 7 mulai hari ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Datuk Mohd Isa Ishak. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah kita melihat perjalanan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) berjalan lancar, mereka (pelajar) datang pagi kerana sudah dimaklum agar datang mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Tinjauan SelangorKini di SMK Seksyen 7 mendapati rata-rata calon sudah tiba seawal 7 pagi untuk mengambil peperiksaan yang bermula 7.45 pagi.

Tidak kurang juga ada segelintir pelajar memanfaatkan masa dengan menelaah buku sebagai persediaan di saat akhir sebelum peperiksaan bermula.

Seramai 73,938 calon SPM 2021 termasuk persendirian dan berkeperluan khas di Selangor menduduki peperiksaan itu tahun ini.


Pengarang :