EXCO Perumahan Rodziah Ismail berucap merasmikan Seminar Pemantapan Pengurusan Bangunan Kediaman Berstrata peringkat Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 24 Mac 2022. Foto Facebook Rodziah Ismail
EXCOSELANGOR

Jelaskan caj senggara, jamin pengurusan strata lebih baik

SHAH ALAM, 24 MAC: Komuniti strata digesa membayar yuran penyenggaraan mengikut jadual bagi memastikan kawasan kediaman mereka diurus dengan baik.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata keculasan melaksanakan tanggungjawab itu memberi kesan kepada banyak pihak terutama penghuni yang membayar caj.

“Pengurusan memerlukan bayaran daripada pemilik petak untuk memastikan bangunan berfungsi menepati piawaian. Kita juga jangka keperluan rumah strata meningkat kerana mendapat permintaan tinggi.

“Selain itu, (ia didorong) penghijrahan penduduk ke negeri ini. Jadi bayaran caj perlu dibuat supaya kediaman ini berdaya huni dan penduduk mendapat kualiti hidup yang baik,” katanya.

Beliau berucap pada Seminar Pemantapan Pengurusan Bangunan Kediaman Berstrata Selangor @ C-Smart di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Sementara itu, Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga menambah seminar anjuran Lembaga Perumahan Hartanah Selangor dan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dapat meningkatkan pemahaman berkenaan strata.

“Pengurusan merupakan perantara dengan komuniti jadi perlu bersedia setiap masa dengan kemahiran dan pengetahuan supaya persekitaran komuniti lebih sistematik,” katanya.

 


Pengarang :