Pemain perseorangan negara Lee Zii Jia dalam aksi separuh akhir ketika menentang pemain dari India Lakshya Sen di Arena Birmingham pada 19 Mac 2022. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Lee Zii Jia terkandas separuh akhir Seluruh England

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Pemain perseorangan negara Lee Zii Jia gagal mempertahankan kejuaraan All England selepas tunduk di tangan pemain dari India, Lakshya Sen dalam aksi separuh akhir di Arena Birmingham hari ini.

Zii Jia tewas dalam aksi tiga set 13-21, 21-12 dan 19-21.

Turun selaku pemain pilihan keenam, laluan Zii Jia tampak berliku apabila berlaku aksi kejar mengejar mata, namun Sen menidakkan kemampuan pemain berusia 24 tahun itu dengan menang 13-21 pada set pertama.

Tatkala permainan kelihatan lebih memihak kepada Sen, Zii Jia kembali dengan momentum bertenaga untuk melengahkan kemenangan Sen apabila seketika mendahului 10-2 sebelum memenangi perlawanan set kedua 21-12.

Pada set penentuan, Zi Jia yang pernah tewas kepada Sen pada Siri Antarabangsa Satelit India 2016 di Hyderabad, India sekali lagi gagal menyaingi pencabar berusia 21 tahun itu yang mencatat kemenangan 21-19.

Kemenangan Sen dalam aksi selama sejam 16 minit itu menyaksikan beliau bakal membuat perhitungan pada final esok berdepan pemain pilihan pertama dari Denmark, Viktor Axelsen atau pemain pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen yang turun beraksi lewat hari ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :