Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

MB: Permohonan naik taraf kemudahan sekolah hingga 31 Mac, peruntuk RM26 juta

SHAH ALAM, 16 MAC: Permohonan bantuan sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta mubaligh masih dibuka sehingga 31 Mac ini, Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masih ada masa untuk sekolah di negeri ini mengemukakan permohonan yang dibuka sejak 1 Mac sebelum memuktamadkan sekolah yang layak menerima bantuan.

“Masa ada 15 hari lagi sekolah di Selangor memohon bantuan program tersebut sebelum dimuktamadkan sebaik Ramadan atau Hari Raya kita boleh agihkan untuk bantuan pusingan pertama seperti sebelum ini.

“Pada pandemik lalu, bantuan diberikan hanya sekali, tetapi kali ini minimum dua kali dan maksimum tiga kali,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin turut memaklumkan sejumlah RM26 juta diperuntuk pada setiap tahun bagi program menaik taraf dan penyelenggaraan kemudahan sekolah di Selangor.

“Sejumlah RM13 juta diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan cina (RM6 juta) dan sekolah jenis kebangsaan tamil (RM5 juta).

“Selain itu, sekolah mubaligh dan sekolah menengah kebangsaan persendirian serta sekolah kebangsaan serta sekolah menengah kebangsaan masing-masing RM1 juta. Jumlah keseluruhan bantuan berjumlah RM26 juta,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Amirudin menyerahkan dana berjumlah RM24 juta untuk membantu infrastruktur 637 sekolah di negeri ini.

Jumlah itu melibatkan RM9.3 juta untuk Sekolah Rendah Agama (SRA), SJKC sebanyak RM9 juta manakala SJKT membabitkan dana RM4.5 juta

Permohonan dibuka secara dalam talian menerusi https://www.ssipr.selangor.gov.my.


Pengarang :