Dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan bawah Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian. Foto ihsan Kumpulan Semesta Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sistem pengurusan pintar kesan, baiki jalan rosak lebih pantas dilancar esok

SHAH ALAM, 15 MAC: Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor untuk memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan raya rosak dengan lebih pantas dilancarkan esok.

Aplikasi dibangunkan Selgem Sdn Bhd (Selgem) itu seiring dengan inisiatif Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu berkaitan jalan raya yang menjadi antara perkara ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2022.

Sistem tersebut menggunakan kamera pintar di papan pemuka kenderaan, kamera 360, dron dan teknologi cerapan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Hasil cerapan dan analisa data diintegrasi dalam web yang kemudian dipancar terus ke pusat kawalan Selgem yang menjadi salah satu elemen penting dalam sistem itu,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Jelas syarikat itu, aplikasi tersebut juga mampu digunakan secara meluas oleh pelbagai agensi sekali gus mewujudkan keseragaman operasi bagi pengurusan jalan di Selangor.

Pelancaran sistem pintar oleh anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd itu dijadual berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata penggunaan dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan negeri bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian.

Beliau berkata sistem itu membolehkan maklumat kerosakan seperti lubang, tarikh pembaikan dan tempoh luput dikenal pasti untuk tindakan susulan dengan kos penyelenggaraan mencecah RM1 bilion.

Penggunaan sistem pintar aset jalan raya yang dilengkapi perisian maklumat geografi bagi mengatasi isu berkaitan jalan raya antara perkara ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2022.

 


Pengarang :