Pemain import Selangor FC, Baha Abdel Rahman ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 23 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Dari Jordan ke Selangor FC, Baha kutip ilmu sepakan percuma Eto’o

Rembatan kencang kaki kanan dari luar kotak penalti dan situasi bola mati antara kekuatan ada pada pemain import Selangor FC musim ini, Baha’ Abdel Rahman. Teknik itu dimantapkan lagi ketika bermain bersama bintang bola sepak dunia, Samuel Eto’o pada 2019.

Eto’o, bintang dari Cameroon yang memenangi tempat ketiga pemain terbaik dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2005 sememangnya terkenal dengan ketajaman penyudahnya termasuk menjaringkan gol menarik.

Baha’ Abdel Rahman (kanan) bersama Samuel Eto’o (kiri) di Qatar. Foto Instagram Baha Abdel Rahman

Baha’, ketua pasukan Jordan berpeluang bermain bersama Eto’o yang beralih angin mewarnai bola sepak Arab dengan menyertai Qatar SC. Mulanya, dirinya sedikit ‘gerun’ terhadap status pemain berkelas dunia itu.

“Walaupun ada orang lihatnya agak agresif tetapi hanya di padang kerana beliau mahu menang, tetapi di luar padang Eto’o baik sahaja dengan semua dan sedia mengajar.

“Eto’o ajar sepakan percuma dan mengawal permainan kerana sebagai pemain tengah menjadi tugas saya menyusun aksi pasukan,” katanya mengimbau saat bermain dengan bintang dunia itu kepada Selangorkini pada 30 Mac.

Baha’ yang turut meminati gaya sepakan percuma Cristiano Ronaldo mengakui tunjuk ajar Eto’o membantu memperbaiki tekniknya dan menjadi senjata utama ketika berada di padang.

Bakat Baha’ dikesan ketika bermain bola sepak di jalanan di tempat kelahirannya di Amman oleh seorang pencari bakat. Pada 2006, beliau mengikat kontrak dengan Al Faisaly SC, antara pasukan terkemuka di Jordan yang memenangi lebih 34 kejuaraan liga.

Cipta sejarah

Beliau turut mengembangkan kerjayanya dengan menyertai pasukan lain antaranya al-Ahli, al- Taawon, Qatar SC, Najran SC dan al-Nasr sebelum menyarung jersi SFC.

Pada peringkat antarabangsa pula, Baha’ bermula dengan pasukan di bawah 20 tahun dan menjadi sebahagian anggota penting mencipta sejarah bola sepak Jordan. Negara itu layak bertanding buat pertama kali dalam Piala Dunia edisi remaja pada 2007 di Kanada.

Kecemerlangannya itu menyebabkannya dipilih ke pasukan utama. Aksi pertamanya berkesudahan Jordan menewaskan Bahrain 3-1 dalam perlawanan persahabatan pada 7 September 2007.

“Saya gembira mewakili negara dalam pelbagai kejohanan ini, setakat ini saya sudah bermain 145 kali perlawanan antarabangsa dan apabila mencapai 150 saya akan menjadi individu kedua terbanyak memiliki caps untuk Jordan selepas Amer Shafi,” kata beliau yang menaruh harapan negaranya layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.

Amer, bekas penjaga gol Jordan, mencatat 176 caps pada peringkat antarabangsa mengumumkan persaraannya pada Februari 2021.

Baha’ turut berharap pengalamannya itu dapat membantu pasukan Merah Kuning mencatat keputusan terbaik pada musim ini. Seboleh-bolehnya, beliau mahu menghadiahkan piala untuk tatapan peminat yang kali terakhir melihat Selangor di pentas juara ketika memenangi Piala Malaysia pada 2015.

Pemain import Selangor FC, Baha Abdel Rahman ketika ditemubual Selangorkini selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Usia bukan halangan

Beliau yakin perkara itu mampu dilakukan berdasarkan komitmen tinggi keseluruhan organisasi pasukan. Dari segi kemampuan, beliau melihat SFC lebih baik berbanding kelab-kelab di negara Arab.

“Saya gembira bermain dengan antara pasukan terbaik di Malaysia dan teruja dengan sokongan padu peminat,” jelas Baha’ yang menyukai kehidupan di Selangor dan mahu membawa keluarganya selepas sambutan Aidilfitri.

Baginya, usianya yang menginjak 35 tahun tidak boleh dianggap penghalang untuk mempamer aksi cemerlang. Untuk mengekalkan prestasi, resipinya mudah sahaja iaitu berlatih serta makan dengan betul.

Baha’ mengambil contoh pemain Brazil Dani Alves yang mampu bermain dengan baik bersama Barcelona walaupun berusia 38 tahun. Baginya, angka 35 yang merujuk kepada usianya hanya nombor dan sepatutnya diambil kira sebagai pengalamannya.

“Saya masih mampu beraksi, saya akan buktikan dengan memberi aksi cemerlang jika diberi peluang,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu.


Pengarang :