Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan pada 27 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu jalani HSO bebas dari kuarantin selepas empat hari jika diuji negatif

SHAH ALAM, 27 APRIL: Individu positif Covid-19 boleh dilepaskan daripada pengasingan di rumah (HSO) seawal hari keempat tempoh kuarantin jika disahkan negatif melalui ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang diselia pengamal perubatan berkuat kuasa 1 Mei.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata individu tersebut perlu terus melengkapkan tempoh pengasingan sehingga tujuh hari jika masih positif.

Menurutnya, ujian tersebut perlu dilakukan menggunakan RTK-Ag seliaan pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal atau maya.

“Keputusan ujian tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam.

“Ia bagi memastikan individu tersebut segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif Covid-19,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan Covic-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik setelah menjalani pengasingan selama tujuh hari.

Sementara itu, beliau berkata, kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“Individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis, adalah individu positif walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap dan individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia,” katanya.

 

 

 

 


Pengarang :