Interceptor berfungsi dangan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di Sungai Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kualiti air makin baik, kuantiti sampah dalam Sungai Klang berkurangan

KLANG, 4 APRIL: Kuantiti sampah di dalam Sungai Klang di sini menunjukkan penurunan daripada 1,500 tan kepada 800 tan sebulan berikutan penggunaan jentera pembersihan sungai (Interceptor) sejak 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim berkata pihaknya menyasarkan jumlah tersebut akan terus berkurangan kepada 500 tan sebulan menjelang penghujung tahun ini.

Beliau berkata selain penurunan kuantiti sampah, kualiti air di sungai tersebut juga semakin baik iaitu daripada kelas empat dan lima kepada kelas tiga.

“Dahulu, kualiti air pada kelas empat dan lima tetapi sekarang makin bagus dengan 48 peratus daripada Sungai Klang berada di kelas tiga dan ke atas (kelas dua dan satu).

“Jadi, kami hendak sasar sehingga 70 peratus daripada Sungai Klang itu berada di kelas tiga,” katanya kepada pemberita selepas program Lawatan ke Interceptor 005 bersama Gerbang Maritim Selangor (SMG) di Sungai Klang di sini, hari ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim (kanan) bersama Pengasas #SayNo2Palstic, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat (tiga, kanan) ketika sesi lawatan jentera perangkap sampah Interceptor 005 di Sungai Klang, Klang pada 4 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir, pengasas kempen #SayNo2Plastic Malaysia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup Boyan Slat.

Penempatan Interceptor 005 di Sungai Klang berdekatan Pelabuhan Klang di sini pada Oktober lepas, adalah susulan kejayaan Interceptor 002 yang ditempatkan di Taman Awam Pangkalan Batu di sini pada 2019.

Sementara itu, Izham yang juga Pengerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) iaitu pemaju utama projek SMG, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pemasangan perangkap sampah di lokaliti tertentu sebelum ia memasuki Sungai Klang.

“Ada empat PBT sepanjang Sungai Klang iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang telah dimaklumkan dalam mesyuarat SMG.

“Dengan adanya kerjasama ini, kami yakin jumlah sampah di dalam Sungai Klang akan terus berkurangan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :