Peniaga menyiapkan tempahan makanan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ turun padang bantu peniaga bazar Ramadan daftar Plats 3.0

SHAH ALAM, 13 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjelajah ke bazar Ramadan bagi membantu usahawan mendaftar Platform Selangor (Plats) 3.0.

Unit Komunikasi Korporatnya berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Rakan Digital Selangor (RDS) mempromosikan platform itu semasa cabutan undi petak bazar berkenaan baru-baru ini.

“Kerjasama dengan RDS juga dibuat semasa kursus Jom Digitalkan Perniagaan Anda pada 1 Mac lalu dengan memberi penerangan kepada usahawan berhubung Plats.

“Malah, tahun lalu kita maklumkan kepada kumpulan WhatsApp Usahawan Mikro berhubung platform disediakan Kerajaan Negeri untuk membantu memasarkan perniagaan mereka,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata maklumat jelas kepada orang awam penting bagi memastikan Plats lebih dikenali dan bermanfaat untuk rakyat Selangor.

“Secara tidak langsung usahawan akan sedar kepentingan Plats yang mampu memberi nilai tambah terhadap pendapatan seharian mereka,” katanya menambah seramai 1,150 usahawan menyertai Plats 1.0 dan 2.0.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat berkata Jabatan Pelesenan akan bekerjasama dengan Plats bagi mendapatkan lebih ramai penyertaan dalam platform maya tersebut.

Menurutnya, seramai 109 usahawan daerah itu mendaftar dengan Plats 1.0 dan 2.0 setakat ini.

“Kita akan menyampaikan maklumat secara terus kepada usahawan berkaitan inisiatif ini selain membuat hebahan di media sosial MPKS berserta pautan ke laman sesawang Plats,” katanya.

Dilancarkan 8 April lalu, Plats 3.0 yang melibatkan kerjasama 12 PBT menyasarkan penyertaan 10,000 usahawan mikro negeri ini.

Plats diperkenal Ramadan pada dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April tahun lalu, Plats 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.


Pengarang :