Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kanan) dan Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) menyampaikan bantuan kepada seorang penerima pada program Bubur Lambuk Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Kampung Wira Damai, Gombak pada 9 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Pekawanis sedia dana bantuan RM200,000 sempena Aidilfitri kepada 50 DUN

GOMBAK, 9 APRIL: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk dana RM200,000 kepada 50 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bantuan Aidilfitri tahun ini.

Yang Dipertua Datin Seri Masdiana Muhamad berkata setiap DUN terbabit akan mengagihkan wang tunai RM100 dan bantuan lain kepada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Kita menyediakan RM4,000 kepada setiap DUN dan dana tersebut sudah disalurkan sejak awal bulan ini hingga akhir Mei ini.

“Jadi mereka perlu mengenal pasti 30 keluarga yang benar-benar memerlukan untuk menerima bantuan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Bubur Lambuk Perdana DUN Sungai Tua di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Wira Damai di sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu, Pekawanis menyerahkan bantuan wang tunai RM100 dan barangan keperluan asas kepada 30 ketua isi rumah B40 sekitar DUN terbabit.

Sementara itu, Masdiana berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban penerima sekali gus memberi keceriaan ketika menyambut Syawal.

“Kita harap mereka memanfaatkan sebaiknya sumbangan ini untuk membuat persiapan menyambut hari raya tidak lama lagi,” katanya.


Pengarang :