Penjual telur, sedang membungkus dan mengasingkan telur ketika program Juala Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Kota Raja, Klang pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk harap program jualan murah dilanjut selepas Aidilfitri

KLANG,24 APRIL: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berharap jualan murah barangan asas dapat diteruskan selepas Aidilfitri.

Mohd Hafiz Abd Hamid,42, berkata jualan murah yang diadakan setiap minggu itu memudahkan beliau membeli keperluan harian terutama ketika Ramadan.

“Saya tinggal berhampiran sini sahaja dan apabila ada jualan seperti ini mudah untuk berbelanja selain harga ditawarkan juga murah berbanding di pasaran.

Mohd Hafiz Abd Hamid, bercakap kepada media ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Kota Raja, Klang pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Contohnya harga telur gred B di pasaran sekitar RM13 tetapi di sini hanya RM10 sahaja. Saya bercadang untuk pergi ke jualan besar-besaran menjelang raya nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam pada itu, Mohd Ghazali Dollah,61, berkata beliau tidak sempat membeli ayam dan daging segar dijual kerana semuanya habis dijual.

“Saya sedia maklum tentang program ini tetapi tidak sempat datang kerana selesaikan urusan keluarga. Sejurus tiba di sini, saya dimaklumkan ayam dan daging segar habis dijual.

“Mungkin jika ada lagi jualan murah ini boleh membawa stok dengan lebih banyak kerana sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya.

Program jualan murah barangan asas di DUN Sungai Kandis berlangsung kali kedua selepas kali pertama diadakan di parkir Masjid Kampung Bukit Naga pada 12 April lalu.

Program Jualan Prihatin Rakyat kali ini diadakan di parkir Masjid Kota Raja bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.


Pengarang :