Exco Kerajaan Tempatan Ng Sze Han melawat tempat pembuangan kitar semula minyak masak terpakai ketika Program Berbuka Puasa bersama Penjaja Bazar Ramadan Puncak Jalil, Subang Jaya pada 13 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Peniaga bazar Ramadan digalak kitar semula minyak masak, pelihara alam sekitar

SUBANG JAYA, 14 APRIL: Peniaga bazar Ramadan di Selangor digalak mengitar semula minyak masak terpakai bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata minyak masak tersebut boleh dikumpul di tong disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dibawa ke pusat kitar semula.

Menurutnya, setakat ini terdapat hampir 50 bazar Ramadan menyediakan kemudahan itu dengan 10 daripadanya di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Kita menggalakkan peniaga untuk kitar semula minyak masak terpakai kerana jika tidak dilupus dengan kaedah yang betul akan mengakibatkan masalah kebersihan dan alam sekitar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyantuni dan berbuka puasa bersama penjaja di Bazar Ramadan PUJ3/1, Puncak Jalil di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara memaklumkan sebanyak 56.25 kilogram (kg) minyak masak terpakai berjaya dikutip dari bazar Ramadan seluruh negeri setakat minggu pertama puasa.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 27.5kg diperoleh dari empat bazar seliaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (18kg) dan MBSJ (10.75kg).

“Sambutan memberangsangkan kerana inisiatif ini baharu pertama kali dilaksanakan selain menjangkakan pertambahan minyak masak yang mampu dikumpul pada minggu berikutnya.

“Tiada sasaran diletakkan berapa kuantiti (minyak masak dikumpul) sehingga akhir Ramadan, namun berharap usaha seperti ini dipergiat pada tahun depan,” katanya.


Pengarang :