AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Ribut petir, hujan diramal landa empat daerah di Selangor hingga 3 petang

SHAH ALAM, 13 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 3 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini melibatkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak.

Manakala Kedah melibatkan Langkawi, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan), Perak (Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub dan Bentong).

Johor pula di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang selain Sarawak (Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah) dan Bintulu (Tatau)).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :