AGENDA NASIONAL

Rumah terbakar, suami isteri dan anak melecur

IPOH, 27 APRIL: Sepasang suami isteri serta seorang anak perempuan mereka melecur dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Hala Taman Meru 10, Taman Meru Fasa 2B di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh serta Pasukan Bomba Sukarela dari Menglembu dan Chemor digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 11.04 malam.

“Kebakaran itu membabitkan empat rumah teres setingkat yang terbakar antara lima hingga 80 peratus.

“Kebakaran itu menyebabkan seorang lelaki berusia 32 tahun itu melecur tahap tiga manakala isterinya melecur di bahagian tangan serta anak perempuannya melecur di bahagian kaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata bagaimanapun, anak lelaki pasangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, anggota bomba melakukan pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 30 meter menggunakan sumber air dari pili bomba dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.20 pagi.

— BERNAMA

 


Pengarang :