Pasukan Persatuan Amal Valley mengeluarkan mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tindakan KKM tangani Covid-19 bantu catat kematian lebih rendah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Malaysia merekodkan lebihan kematian agak rendah berbanding negara lain susulan keberkesanan tindakan dilakukan ketika mengawal Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerajaan berjaya mencari keseimbangan dan melaksanakan langkah kawalan bagi mengelakkan gangguan kesihatan sekali gus melonjakkan jumlah kematian.

Jelasnya, kematian berlebihan menjadi petunjuk penting untuk melihat kesan wabak kepada negara termasuk impak kesihatan.

“Lebihan kematian merupakan perbezaan jumlah kematian sebenar semasa pandemik dari sebarang punca berbanding kematian yang dijangka.

“Ini menunjukkan tindak balas dan langkah diambil kementerian kesihatan dalam membendung Covid-19 adalah baik dan tindakan kita di landasan betul,” katanya pada sesi libat urus lebihan kematian semasa pandemik Covid-19 secara dalam talian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lebihan kematian meningkat pada sekitar Julai dan Ogos 2021 ketika gelombang jangkitan varian Delta mengganas.

“Namun kita mampu tangani kerana ketika itu program vaksinasi untuk Lembah Klang berjalan dan dipertingkatkan.

“Ini dapat mengawal jangkitan Delta dan menurunkan kes dengan lebih cepat, lebih baik daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.


Pengarang :