Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan ahli KEADILAN melaungkan Reformasi dalam Majlis Mesra Aidilfitri 2022 & Rapat Mega #kitasemuakeadilan Aspirasi Kota Raja di Dewan Tulip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bukit Naga Seksyen 32, Shah Alam pada 16 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ahli KEADILAN diseru jaga adab pastikan proses undi lancar

SHAH ALAM, 16 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menyeru ahli parti supaya menjaga adab bagi memastikan proses pengundian lancar.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar berkata tindakan itu penting berikutan setiap anggota memiliki tanggungjawab besar selepas ini termasuk mendepani pilihan raya umum (PRU).

“Saya berharap semua calon dapat menawarkan diri dengan kaedah yang baik dan menjaga adab ketika berkempen di samping memastikan proses undi berjalan lancar.

“Hal ini kerana kita ada tanggungjawab yang lebih besar yang perlu diuruskan selepas ini iaitu PRU akan datang,” katanya pada Majlis Mesra Aidilfitri 2022 dan Rapat Mega #kitasemuakeadilan Aspirasi Kota Raja di Dewan Tulip MBSA Bukit Naga di sini.

Amirudin turut menyeru semua calon menjaga nama baik parti ketika berkempen selain memastikan proses demokrasi tidak dicemari dengan tindakan yang menjejaskan imej parti.

Amirudin antara 18 calon naib presiden termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.

Ketua Wanita Selangor Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek pula merebut kerusi ketua wanita. Jawatan ketua AMK menyaksikan pertembungan dua bekas aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.

Dalam Pemilihan KEADILAN 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden untuk bagi tempoh 2022 hingga 2025 apabila menang tanpa bertanding.


Pengarang :