Selangorkini
Atlet gimnastik negara Rachel Yeoh Li Wen ketika beraksi dalam acara akhir gimnastik artistik wanita kategori Palang Bertingkat (Uneven Bar) pada Sukan SEA ke-31 di Kompleks Sukan Quan Ngua pada 15 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Rachel Yeoh raih emas kedua acara titian imbangan di Hanoi

HANOI, 16 MEI: Gimnas artistik wanita negara Rachel Yeoh Li Wen, terus menampilkan aksi terpuji apabila meraih emas kedua peribadi pada Sukan SEA ke-31 di Pusat Gimnasium Quan Ngua hari ini.

Pencapaian cemerlang gimnas berusia 23 tahun itu dalam acara titian imbangan, sehari selepas meraih emas dalam acara palang bertingkat, semalam.

Pada saingan hari ini, Rachel mempamerkan aksi mantap untuk mengutip 12.567 mata, mengatasi pencabarnya dari Filipina Aleah Finnegan Cruz yang mengutip 12.367 mata, manakala pingat gangsa milik peserta tuan rumah Pham Nhu Phuong (12.167 mata).

Ketika ditemui pemberita, Rachel berkata pencapaian di Hanoi itu menaikkan semangatnya untuk berusaha lebih keras bagi menghasilkan keputusan membanggakan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, Julai depan dan Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Rachel berkata sebelum turun beraksi hari ini, beliau hanya meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kedudukan tiga terbaik.

“Persaingan sangat sengit di sini dan memenangi dua pingat emas dan satu gangsa adalah pencapaian baik,” kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu yang turut meraih gangsa dalam acara all-around individu, dua hari lepas.

-BERNAMA


Pengarang :