Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika program debat di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MATIC Kuala Lumpur pada 12 Mei 2022. Foto Twitter BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Pemimpin ‘sebelah sana’ terpalit skandal mata wang asing RM30 bilion

SHAH ALAM, 13 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak keberatan jika kertas siasatan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an dibuka semula.

“Pendirian saya jelas. Kalau esok boleh bercakap dengan perdana menteri, beritahu peguam negara hendak buka kertas siasatan, saya tiada masalah,” katanya dalam acara Debat Perdana dengan Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur malam tadi.

Namun, Anwar, menteri kewangan ketika kerugian bernilai RM30 bilion berlaku,
mengingatkan “bukan calang-calang” pemimpin “sebelah sana” bakal terpalit dalam skandal tersebut.

Ketua pembangkang itu menjawab soalan Najib yang mendakwa laporan polis berkaitan skandal BNM ditarik balik dan dikategori tiada siasatan lanjut ketika Pakatan Harapan memerintah negara.

Presiden Parti Keadilan Rakyat itu turut mempersoal bentuk halangan peguam negara untuk membuka mana-mana kes yang dianggap sebagai pendakwaan terpilih ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah.

“Jangan guna alasan, kata kes ditutup, ada pendakwaan terpilih. Apa yang menghalang peguam negara sekarang untuk membuka semua kes yang dianggap pendakwaan terpilih?”

Anwar menegaskan masalah rasuah di negara ini amat serius hingga membabitkan puluhan bilion ringgit sekali gus gejala itu boleh menjahanamkan negara jika tidak diatasi segera.

“Ini beza saya dengan Najib. Saya tidak mahu mana-mana kes, libatkan ahli politik menggunakan jentera untuk tutup kes atau dera orang. Saya tidak suka jentera kerajaan diperalat untuk menekan musuh politik,” katanya.


Pengarang :