Atlet gimnastik negara Rachel Yeoh Li Wen ketika beraksi dalam acara akhir gimnastik artistik wanita kategori Palang Bertingkat (Uneven Bar) pada Sukan SEA ke-31 di Kompleks Sukan Quan Ngua pada 15 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Atlet gimnastik rangkul emas di Sukan SEA

HANOI, 15 MEI: Gimnas artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen menampilkan aksi memukau untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas dalam acara palang bertingkat (palang asimetrik) pada Sukan SEA ke-31 di sini hari ini.

Pencapaian cemerlang gimnas berusia 23 tahun di Pusat Gimnasium Quan Ngua itu, hadir selepas beliau menyumbangkan pingat pertama buat Malaysia dalam sukan gimnastik menerusi gangsa dalam acara all-around individu semalam.

Dalam saingan hari ini, Rachel mempamerkan gerakan konsisten untuk memikat juri sekali gus memperoleh 13.000 mata, mengatasi peserta tuan rumah Pham Nhu Phuong yang mengumpul 12.457 mata manakala pingat gangsa diraih atlet Singapura Nadine Joy Nathan (12.433 mata).

Sementara itu, dua gimnas lelaki negara Tan Fu Jie dan Muhammad Sharul Aimy masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara kekuda berpelana setelah memperoleh 14.200 dan 12.500 mata.

Peserta tuan rumah Dang Ngoc Xuan Thien mendominasi acara berkenaan setelah mengutip 14.400 mata.

– BERNAMA


Pengarang :