AGENDANASIONALSELANGOR

Kakitangan MBSA maut ketika menyelam di Pulau Tenggol, Terengganu

DUNGUN, 28 MEI: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam bersama rakannya di perairan Tokong Timur, Pulau Tenggol, hari ini.

Mangsa, Puspasari Aminuddin, 37, ditemui tidak bernafas ketika timbul di permukaan selepas kira-kira 15 minit menyelam meskipun masa diperuntuk untuk melakukan aktiviti itu adalah 45 minit, lapor portal Berita Harian

Pemandu bot kumpulan itu, Mohamad Sani, berkata beliau pelik apabila melihat mangsa timbul awal tetapi tidak berbuat apa-apa kerana menyangka mangsa mahu berehat atau mengambil nafas.

“Apabila melihat mangsa tidak bergerak, saya mula curiga sebelum menghidupkan enjin bot dan pergi mendapatkan mangsa dalam jarak kira-kira 150 meter.

“Mangsa tidak menunjukkan tindas balas selepas saya mengejutkan beberapa kali sebelum menaikkannya ke atas bot. Saya kemudian segera menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa dikatakan memiliki sijil menyelam dan menyertai trip harian itu dan dijangka pulang semula ke Dungun pada petang ini,” katanya.


Pengarang :