Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelajar manfaat pemeriksaan mata percuma, nekad kayuh basikal tiga kilometer

SABAK BERNAM, 28 MEI: Masalah penglihatan yang berlarutan sejak dua minggu lepas sehingga menjejaskan tumpuan dalam kelas mendorong seorang remaja perempuan mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma.

B Parvenasree, 14. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

B Parvenashree, 14, nekad hadir ke program Selangor Saring di Pusat Konvensyen Hotel dan Mini Grand Sabak dekat sini hari ini, dengan mengayuh basikal sejauh tiga kilometer dari rumahnya sambil ditemani ibu saudara K Maligka, 59.

“Sebenarnya saya mengalami sakit mata sampai sukar untuk lihat apa yang cikgu tulis di papan putih. Sebelum ini keadaan mata saya elok sahaja walaupun dalam kelas meja saya di barisan paling belakang.

“Saya tidak ke klinik atau hospital bagi membuat pemeriksaan kerana menganggap ia tidak serius selain memikirkan kos yang perlu ditanggung. Kebetulan pula ada program saringan kesihatan percuma, jadi saya minta dia (ibu saudara) temankan,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz itu berkata dia yang berbasikal secara berasingan dengan ibu saudaranya mengambil masa setengah jam untuk sampai ke lokasi saringan.

Rosli Bakar, 46. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan inisiatif ini secara percuma. Sekarang rasa sedikit lega, selepas pemeriksaan doktor memaklumkan saya hanya alami rabun jauh serta disaran pakai cermin mata,” katanya yang juga anak tunggal.

Bagi Rosli Bakar, 46, dia dan isteri Musliha Mustahpa, 39, membuat saringan fizikal, darah dan air kencing atas kesedaran sendiri selepas sekian lama tidak berbuat demikian kerana kekangan masa serta kewangan.

“Seingat saya kali terakhir buat saringan ketika usia kanak-kanak, jadi tiba masanya kami manfaatkan peluang percuma ini kerana sekurang-kurangnya boleh tahu status kesihatan diri.

“Mungkin selama ini kami hanya alami sakit-sakit ringan, mana tahu saringan kali ini mengesan yang kami sebenarnya ada penyakit kritikal. Dari situ kami boleh ambil langkah pencegahan bagi mengelakkan bertambah serius,” kata bapa dua anak.

Teoh Eng Let, 72. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, warga emas, Teoh Eng Let, 72, enggan mensia-siakan perkhidmatan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri meskipun tiada sejarah penyakit kronik selain mempunyai perlindungan insurans perubatan.

“Saya lihat hebahan program ini di Facebook dan kebetulan dekat dengan rumah, jadi apa salahnya saya datang supaya tahu tahap kesihatan semasa sebab sekarang macam-macam penyakit boleh datang secara tiba-tiba.

“Setakat ini doktor juga cakap kesihatan saya masih dalam keadaan baik dan tiada apa-apa penyakit,” kata bapa lima anak yang menetap di Taman Wawasan Sabak Bernam.


Pengarang :