Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyertai ribuan pengunjung membuat video TikTok sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor yang melabuhkan tirai malam ini di Kompleks Pandamaran, Klang pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Rumah terbuka Aidilfitri negeri meriah, pupuk perpaduan pelbagai kaum

KLANG, 22 MEI: Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor mendapat sambutan menggalakkan apabila ia bukan sahaja dihadiri individu beragama Islam sebaliknya kaum lain turut hadir memeriahkan suasana.

Seorang guru Kogeelavanee Raja Gopal, 49, ketika ditemui berkata dia hadir bersama ibu dan adik-beradik ke majlis tersebut bagi merasai sendiri kemeriahan sambutan hari raya.

Kogeelavanee Raja Gopal, 49

“Bagi saya tidak salah untuk individu yang berbeza agama saling berkunjung ke majlis rumah terbuka hari raya kaum lain kerana ia dapat merapatkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan.

“Selain itu, kita juga dapat melihat dan merasai pelbagai jenis makanan hari raya orang Melayu. Saya amat sukakan lemang dan rendang, gembira apabila nampak ada menu itu hari ini,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Haryati Guntor, 34, pula mengambil peluang hadir bersama suami dan dua anaknya ke rumah terbuka itu bagi mengisi masa terluang ketika cuti hari minggu.

“Pertama kali berkunjung ke rumah terbuka besar-besaran seperti ini, sangat meriah ditambah pula pelbagai juadah disediakan memang gembira,” katanya.

Selain itu, warga emas Hong Kim Chuan, 62, berkata dia dan keluarga turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke kedua-dua rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri semalam

Hong Kim Chuan, 62

.

“Petang tadi kami ke Puchong malam pula ambil peluang ke sini kerana gemarkan suasana rumah terbuka seperti ini yang amat meriah dan terbuka,” katanya.

Rumah terbuka secara besar-besaran melibatkan sembilan daerah membuka tirai pada 15 Mei di Hulu Selangor dan berakhir di Petaling dan Klang semalam.

Rumah terbuka Petaling diadakan di Padang Awam MBSJ Puchong Indah mulai 2.30 hingga 5.30 petang manakala Klang pula bermula 8 hingga 11 malam di Dataran Kompleks Sukan Pandamaran.


Pengarang :