Foto Facebook Universiti Teknologi MARA – Media Rasmi
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Dua atlet UiTM tempa kejayaan, raih perak dan gangsa

SHAH ALAM, 20 MEI: Dua penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) menempa kejayaan pada temasya Sukan SEA di Hanoi apabila membutirkan pingat buat kontinjen negara.

Mohamad Aniq Kasdan meraih gangsa acara angkat berat kategori 55 kg semalam, manakala Zuhri Muhammad Zin menuai perak dalam aksi berpasukan sepak takraw pada 13 Mei lalu.

“Tahniah kepada Atlet UiTM yang berjuang pada temasya Sukan SEA ke-31 di Vietnam. Semoga terus cemerlang pada kejohanan akan datang,” kata universiti itu di Facebook hari ini.

Semalam, Mohamad Aniq, 20, mencatat rekod baharu kebangsaan bagi acara 55kg lelaki dengan angkatan berjumlah 252kg untuk berada pada kedudukan ketiga di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.

Angkatan itu memadamkan rekod lamanya 249kg ketika menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 dalam acara ‘clean and jerk’.

Sementara itu, skuad sepak takraw lelaki negara tewas kepada Thailand 0-3 pada saingan di Dewan Sukan Daerah Hoang Mai.


Pengarang :