Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Bekas banduan ditahan terlibat curi lapan kenderaan di Cheras

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Seorang bekas banduan yang baru bebas dari penjara enam bulan lalu kerana kesalahan mencuri kenderaan, seolah-olah tidak serik apabila sekali lagi ditangkap atas kesalahan sama, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata lelaki warga tempatan berumur 46 tahun itu yang dibebaskan dari Penjara Kajang pada Januari lepas ditahan di kawasan perumahan Flat Sri Sabah, Cheras kerana dipercayai terlibat kes kecurian lapan kenderaan di sekitar Cheras sejak enam bulan lepas.

Menurut Muhammad Idzham semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah serta dipercayai aktif mencuri kenderaan di beberapa kawasan termasuk Cheras, Pudu, Sri Petaling dan di Teluk Intan, Perak.

“Susulan tangkapan itu, polis mengesan dan merampas lapan kenderaan iaitu empat Proton Iswara, dua Proton Saga, sebuah van Nissan Vanette dan sebuah Proton Wira,” katanya pada sidang media di IPD Cheras di sini hari ini.

Muhammad Idzham berkata suspek direman empat hari bermula semalam hingga 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau menasihati masyarakat supaya menjaga harta benda masing-masing terutama kereta yang diletakkan di luar kawasan kediaman dengan membuat kunci tambahan bagi mengelakkan kecurian.

Sebarang maklumat mengenai salah laku dan jenayah boleh disalurkan menerusi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92845050/5051 atau hotline Polis KL, 03-2115999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

– BERNAMA


Pengarang :