Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangn Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Beri ruang jawatankuasa pemilihan KEADILAN siasat undi meragukan

SHAH ALAM, 7 JUN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menyerahkan siasatan isu keraguan undi pemilihan cabang Gombak bulan lalu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam kiraan undi, Dato’ Seri Amirudin Shari yang mendahului jawatan ketua cabang berkata JPP perlu diberi ruang untuk mengadili dakwaan berkenaan.

“Biar JPP sahkan, selepas itu mereka tunjuk bukti (siapa menang). Saya tidak terlibat dalam proses teknikal dan jawatankuasa,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program negeri di sini hari ini.

Akhir bulan lalu, bekas Pengerusi KEADILAN Perak Farhash Wafa Salvador Rizal yang tewas dalam saingan bagi jawatan ketua cabang menimbulkan keraguan terhadap keputusan pemilihan.

Dalam pada itu, Amirudin berterima kasih kepada anggota cabang yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mengekalkan jawatan tersebut.

“(Saya) dapat mandat yang selesa untuk meneruskan tanggungjawab dan menunjukkan kepercayaan orang Gombak lebih majoriti (terhadap saya),” katanya lagi.

Bagi peringkat nasional, Amirudin juga mendahului undi bagi jawatan naib presiden mengatasi pencabar terdekatnya Chang Lih Kang, ahli parlimen Tanjung Malim.


Pengarang :