EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah (tiga, kanan) menyantuni sebahagian pengerusi MPKK pada Majlis Apresiasi Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 4 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Majlis penghargaan iktiraf peranan 373 ketua kampung tradisi

KLANG, 5 JUN: Seramai 373 pengerusi dan penghulu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tradisi di Selangor diraikan dalam majlis apresiasi semalam.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata majlis itu bagi mengiktiraf golongan terbabit yang melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan cemerlang terhadap penduduk di kawasan masing-masing.

Menurut Borhan Aman Shah, ketua kampung banyak membantu dalam mengekang penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu dan banjir besar yang melanda negeri ini akhir Disember tahun lalu.

“Oleh itu, majlis ini amat bermakna dan mereka semua perlu diberi penghargaan. Mereka menjadi sebahagian petugas hadapan dengan membantu menyampaikan maklumat serta perkhidmatan Kerajaan Negeri.

“Segala pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit diberikan kepada penduduk kampung amat dihargai,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Hotel Wyndham Acmar dekat sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, ADN Ijok Dr Idris Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Aslynda Mohd Dahlan.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah berucap pada Majlis Apresiasi Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 4 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam majlis itu, Borhan turut mengumumkan penubuhan dua MPKK baharu di Kuala Selangor iaitu Teluk Piai dan Tanjung Keramat selain menyampaikan anugerah kepada lima ketua kampung wanita lantikan pertama.

Anugerah turut disampaikan kepada kampung tradisi terbaik peringkat daerah dan pencapaian terbaik kampung tradisi.

Dalam pada itu, Borhan menyifatkan institusi ketua kampung menjadi tiang seri kekuatan sesebuah kampung tradisi yang diwarisi sejak sekian lama.

“Tanpa sebuah kampung yang bersatu padu, tidak mungkin sesebuah mukim itu mampu mentadbir dengan baik dan sempurna. Maka, peranan pihak berkaitan amat besar sekali,” katanya.


Pengarang :