Peserta mendaftar program pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yoke Kuan, Sekinchan, Sabak Bernam pada 5 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bantuan rakyat di Ampang 19 Jun, sedia aktiviti menarik

SHAH ALAM, 16 JUN: Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal diadakan di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun.

Dijadual bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang, program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dirasmikan Dato’ Menteri Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam acara di Ampang, Amirudin dijadual menyempurnakan penyerahan surat tawaran kepada 10 pembeli Rumah Idaman di samping penyampaian geran skim pertanian dan usahawan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan jelajah itu bertujuan mempromosi inisiatif kebajikan yang disertai 23 anak syarikat negeri.

Program tersebut turut diserikan pelbagai acara antaranya persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan IPR supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Program sama akan diteruskan di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun sebelum diperluas ke daerah lain.


Pengarang :