Pemain badminton negara pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia pada 3 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Jurulatih: Semua pemain sudah sedia hadapi saingan Terbuka Indonesia 2022

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Kesemua pemain badminton negara yang mengalami keracunan makanan di Jakarta, Indonesia minggu lepas, telah pulih daripada penyakit itu.

‘Musibah’ yang berlaku itu ternyata menjejaskan cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Masters Indonesia baru-baru ini.

Hanya beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada naib juara dari Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21.

Seramai 16 atlet Malaysia terjejas akibat keracunan makanan itu.

Ini termasuk dua pemain beregu lelaki Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani yang terpaksa beraksi dalam kesakitan sebelum tersingkir di suku akhir.

Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia mengalami kekalahan mengejut kepada pemain nombor 424 dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, 16-21, 21-13, 21-17.

Nur Izzuddin bersama Goh Sze Fei pula tunduk kepada beregu utama dunia dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, 10-21, 21-11, 21-18.

Di sebalik kejadian itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky memberitahu Bernama, kesemua pemain berhasrat untuk beraksi lagi di Jakarta, kali ini pada Terbuka Indonesia 2022.

Ketika ditanya sama ada kejadian itu akan memberi kesan negatif kepada prestasi pemain pada Terbuka Indonesia, Rexy berkata: “Saya nampak tidak ada”.

Dalam pada itu, pakar beregu berusia 54 tahun itu mengingatkan kesemua pemain supaya berhati-hati dalam pengambilan makanan di sana dan paling penting, elakkan mengambil minuman berais.

Rexy juga berkata kesemua pemain akan kekal berada di hotel sama walaupun beberapa pemain persendirian dilaporkan bertukar hotel kerana isu kebersihan, yang menyebabkan mereka mengalami keracunan makanan.

Acara Super 1000, yang menawarkan hadiah wang berjumlah AS$1.2 juta akan bermula esok hingga 19 Jun di Istora Senayan.

– BERNAMA


Pengarang :