Pengunjung membeli ayam ketika tinjauan Media Selangor semasa program jualan murah di Tapak Pasar Malam Berjaya Park, Shah Alam pada 25 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Kaedah tangani isu ayam, jaminan bekalan makanan masa depan

Krisis bekalan makanan khususnya ayam daging semakin meruncing sejak kebelakangan ini. Natijahnya harga makanan itu melambung sehingga menjejaskan kebanyakan pengguna.

Kerajaan Negeri pantas mengatasi masalah berkenaan dengan menawarkan produk ayam daging menerusi Jualan Prihatin Rakyat. Harga jualan juga lebih rendah daripada pasaran sekali gus melegakan ramai rakyat Selangor.

Wartawan Nadiah Zamlus menemu bual EXCO Permodenan Pertanian Ir Izham Hashim yang mengupas isu masalah bekalan ayam daging serta jaminan bekalan makanan pada 1 Jun lepas.

Sejauh mana Program Intervensi Harga yang dijalankan Kerajaan Selangor membantu rakyat di negeri ini?

Program Intervensi Harga bermula Februari dan tamat pada awal Mei lepas. Tidak dinafikan ia mendapat kejayaan luar biasa. Masa itu kita hanya letak enam produk iaitu produk asasi dan keperluan harian buat rakyat. Utamanya ayam, telur ayam, daging lembu dan ikan.

Kemudian kita tambah santan dan minyak masak menjelang hari raya. Enam produk ini keperluan tinggi dan kita bimbang waktu perayaan ada masalah kekurangan bekalan serta peningkatan harga. Kami anggap program ini berjaya kerana kita boleh jual dengan harga subsidi. Contohnya ayam kalau harga RM16, kita cuma jual RM12 pada waktu itu. Daging lembu dulu sekilo RM40, tapi kita RM35. Telur ayam gred B, RM12.90 kita jual hanya RM10 satu papan. Lagi satu minyak masak, satu pek kita jual RM2 saja berbanding RM2.70 di pasaran.

Untuk makluman, kita beri subsidi RM1 juta dari Februari sehingga penghujung April bagi menjayakan program berkenaan. Apa yang kerajaan usahakan memang beri impak besar kepada rakyat dan kurangkan kos serta beban kehidupan mereka, juga kekalkan bekalan. Memang tidak dengar masalah kurang atau putus bekalan terutama Ramadan dan waktu perayaan. Isu terputus bekalan ayam hanya berlaku baru-baru ini sahaja.

Apabila bekalan ayam tidak stabil, harga akan naik. Bagaimana Kerajaan Negeri laksana program berkenaan? Adakah harga naik juga walau Kerajaan Selangor berusaha tambah bekalan ayam kepada 20,000 ekor sehari mulai Jun?

Sudah tentu kita tidak boleh ikut harga asal semasa Jualan Prihatin Rakyat. Perkara penting pada waktu ini pastikan bekalan ada dan cukup. Cuma untuk harga, kita ada pengurangan sebanyak RM1 berbanding pasaran. Contohnya di pasaran RM16, kita akan jual RM15. Kerana paling penting kita hendak stabilkan pasaran ayam. Dulu 4,000 ekor ayam sehari dan sudah naik kepada 20,000 sehari sejak awal Jun.

Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan harian pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bagaimana situasi bekalan ayam di Selangor?

Penduduk di Selangor ada 6.7 juta orang dan tidak lama lagi mencecah tujuh juta orang. Saya buat semakan dengan penternak ayam Selangor. Mereka keluarkan 15 juta ekor ayam dalam satu kitaran. Satu kitaran bersamaan kira-kira dua bulan. Purata sebulan mungkin tujuh juta ekor ayam dikeluarkan.

Kita boleh buat andaian, penduduk di negeri ini makan dua ekor ayam dalam sebulan. Sebab itu, sebenarnya kita perlukan 15 juta ayam sebulan. Bila lihat pada pengeluaran, kita mampu keluarkan 50 peratus sahaja.

Tetapi saya kena ingatkan, tidak semua pengeluaran penternak Selangor hanya untuk negeri ini. Sebab ada ayam mereka dipasarkan ke luar Selangor dan luar negara terutama Singapura. Keyakinan saya mengatakan, ayam untuk Selangor sebulan ada 30 peratus sahaja. Disebabkan tidak cukup, kita sendiri ambil ayam dari luar seperti Thailand.

Apakah kaedah untuk cukupkan bekalan ayam?

Pertama, sebahagian penduduk kena kurangkan makan ayam. Cuba tukar kepada protein lain. Saya tidak bagi formula berhenti makan ayam. Itu cadangan yang tidak masuk akal. Kita cuma kurangkan dan ganti dengan protein lain seperti ikan atau daging lembu. Ya, memang orang kata daging ayam ini sumber protein murah. Tapi sejak ayam mahal, harga ikan kurang kompetitif. Kedua, kena tingkatkan pengeluaran ayam. Usahakan yang baharu atau yang sedia ada untuk buat penambahan dari segi hasil dan ketiga import. Cadangan ini untuk jangka masa segera atau sederhana yang kita boleh buat.

Untuk jangka panjang, kita kena ada usaha supaya masalah sebegini diselesaikan lebih tuntas. Sebab ayam sudah menjadi makanan utama untuk semua, lebih-lebih lagi anak-anak muda.

Masalah pertama yang dan kita kena selesai ialah isu makanan ayam. Ini isu besar. Jagung bijirin untuk makanan ayam tidak sama dengan kita makan. 95 peratus jagung ini kita import, sebelum pandemik harganya untuk satu tan ialah RM1,000 tetapi sekarang RM2,600 untuk satu tan. 50 peratus jagung ini digunakan dalam makanan ayam. Bijirin jagung ini akan dicampur dengan padi, hampas soya, hancuran ikan dan kemudian dijadikan palet. 95 peratus harga ayam berpunca daripada kenaikan harga makanannya. Macam mana kita hendak kawal harga ayam? Kawal makanannya. Sebab itu kita cuba tanam jagung ini.

Dahulu tidak tanam sebab katanya tanah di Malaysia tidak sesuai. Sebab itu mula-mula jadi EXCO permodenan pertanian dua tahun dulu saya bekerjasama dengan sebuah syarikat. Mereka usahakan dan kaji mengenai jagung ayam. Kerajaan Negeri bagi tanah di Sungai Tengi, Sabak Bernam untuk tanam dan kaji. Mana tahu kita boleh kurangkan import. Nilai import jagung ayam di negara kita adalah RM7 bilion setahun. Jika boleh kurangkan kebergantungan kita juga bantu kadar pertukaran wang asing, bantu tingkat hasil petani dan tingkatkan hasil ayam dalam negara.

Kaedah kedua cari makanan alternatif untuk ayam. Kita kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kaedah itu sudah ada. Kami melihat kaedah alternatif ini kurangkan separuh harga makanan ayam. Malah bantu tumbesaran mereka. Sekarang sudah buat secara komersial dan berjaya. Kita setuju teknologi itu dibangunkan di Selangor.

Kaedah ketiga ialah atasi masalah baka. Sekarang induk ada masalah sebab baka sudah uzur. Bila sudah tua dan tidak diganti, ia menyebabkan kualiti anak ayam tidak mencapai piawaian kerana ayam kecil. Sebab itu saya sebut dalam rantaian bekalan makanan, baka atau benih kena jaga. Bila tidak bagus akan ganggu rantaian bekalan.

Kaedah keempat adalah atasi isu pekerja. Sebab itu ayam sebelum pandemik dan sekarang saiznya berbeza. Ayam sekarang lebih kecil sebab mereka kurangkan makanan. Semua faktor ini menyumbang kepada peningkatan kos.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Aisas Tani, Ir Izham Hashim ditemu bual SelangorKini di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Susulan peningkatan pengeluaran ayam kepada 20,000 ekor sehari, di manakah ayam berkenaan diletakkan?

Kita kenal pasti 67 tempat sesuai untuk tambah ayam ini. Ia akan diletak di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), premis Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) atau KoHijrah. Semua tempat ini kita akan kaji dari semasa ke semasa dan keutamaan kepada tempat yang kurang bekalan ayam. Oleh itu, siapa terputus bekalan ayam boleh terus ke lokasi yang saya sebutkan, sebab semua tempat ini memang selalu ada. Setakat ini tiada had untuk orang ramai beli. Kita akan teruskan sehingga hari raya Aidiladha.

Ayam yang ditambah ini tidak akan diberi kepada pasar raya sebab mereka ada sumber sendiri. Memang ada orang cakap, macamlah ayam akan cukup. Tapi Kerajaan Negeri ada usaha untuk bantu rakyat supaya bekalan makanan mereka tidak putus. Bidang kuasa berhubung ayam terputus bekalan ini bukan bidang kuasa negeri, tetapi kita bantu, malah harga yang dijual murah RM1 berbanding pasaran.

Bagaimana perkembangan program jaminan bekalan makanan?

Untuk tingkatkan hasil pengeluaran di Selangor kita perlu tanam tanaman bernilai tinggi seperti golden melon. Kenapa fokus bernilai tinggi? Kerana tanah di Selangor mahal. Ada kalanya kita tidak perlukan tanah, tapi hanya bangunan. Di Shamelin contohnya, ada pengusaha tanam salad bernilai tinggi. Mereka manfaatkan bangunan yang tidak digunakan. Tapi kena tanam salad bernilai tinggi. Tidak boleh tanam sayur biasa sebab nanti tidak pulang kos dan rugi.

Selain golden melon dan salad bernilai tinggi, kita juga fokus tanaman lemon yang baunya seperti serai wangi. Banyak diguna untuk produk kosmetik. Tanaman ini sudah dikaji selama tujuh tahun di Sekinchan dan akan dibangunkan tidak lama lagi untuk pasaran. Nangka jenis D33 juga berdepan kekurangan. Begitu juga halia, kita akan tanam. Untuk pengetahuan kita import halia bernilai RM300 juta setahun. Jadi kenapa kita tidak tanam sendiri? Terutama halia hitam, banyak kegunaannya. Biarlah kita pelbagaikan dan apa yang kita bangunkan cuba untuk dipasarkan ke luar negara.

Selangor kalau hendak bangunkan makanan atau pertanian tidak boleh lari daripada teknologi. Teknologi baharu akan menarik minat anak muda dan wanita terbabit pertanian dan menjana pendapatan lumayan. Secara tidak langsung menambah penglibatan warga tempatan dalam industri tani.

Namun, perkara paling penting ialah kita kena melihat rantaian bekalan makanan secara menyeluruh. Mahu tanam tetapi tidak tahu pasaran. Sebab itu kena tengok masalah ini daripada isu benih sehingga ke pemasaran. Isu penyimpanan juga penting.

Pandangan mengenai kartel pertanian yang cuba kawal pasaran?

Kartel adalah syarikat besar berpakat mengawal pasaran atau monopoli. Contoh trend daging beku. Ada syarikat tertentu yang mengawalnya. Kemudian baja, racun dan makanan ayam. Macam jagung yang saya sebutkan tadi, 95 peratus diimport dan syarikat besar inilah yang mengawal harga. Mereka kawal pasaran.

Bagaimanapun bagi isu bekalan ayam ia bukan masalah kartel. Memang sebenarnya pengeluaran ayam ini ada masalah sejak awal. Yang saya sebutkan tadi, daripada makanan jagung, pekerja, baka selain isu pengurusan permit dan penyakit ayam. Apabila kos perniagaan meningkat susah untuk bertahan. Justeru mereka akan kurangkan pengeluaran dan kurangkan makanan supaya dapat meneruskan kelangsungan perniagaan. Ini bukan isu kartel. Lagipun ayam mentah ini produk terkawal oleh kerajaan. Orang tengok macam kartel tetapi sebenarnya isu perniagaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Dato’ Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun menukar dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimana YB melihat kerjasama antara Selangor dan Negeri Sembilan membangunkan tanah bagi tanaman jagung bijirin?

Kita akan buat berperingkat. Sekarang membabitkan tanah seluas 700 ekar dengan jangkaan penghasilan bijirin sebanyak tujuh tan bagi satu ekar. Jumlahnya mungkin 4,900 tan. Setahun hasilnya dua kali. Jadi keseluruhan mungkin 9,800 tan.

Sebenarnya, jumlah bijirin yang akan dihasilkan belum dapat menampung keperluan industri ternakan. Kita import berbilion jagung. Pada saya, kena tanam 10,000 ekar untuk dapatkan impak. Ternakan ayam ini sangat besar dan macam negeri yang banyak tanah seperti Sabah, Sarawak dan Pahang boleh buat pelaburan dan usahakan apa yang kita buat ini. Ya, kita boleh usahasama. Memang kita tidak boleh beri bijirin ayam 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya kita hasilkan sendiri 30 peratus bijirin untuk ternakan ayam.


Pengarang :