BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lima filem hebat Iran, raih pelbagai anugerah dunia

Menonton wayang gambar biasanya membuatkan kita lebih memahami dunia dan meneliti persoalan diri. Tentunya pilihan filem untuk ditonton juga harus diberi perhatian. Bagi menghasilkan refleksi berkesan sebagai seorang manusia, apa kata kita terokai filem-filem penting dalam dunia sinema Iran yang jelas mempunyai corak pembikinan dan pemikiran filem bersifat spiritual dan manusiawi.

Kali ini kita akan memperkatakan lima filem daripada lima pembikin filem Iran yang mencipta nama di pentas dunia dengan membawakan karya-karya luar biasa. Kelembutan seni Iran terpancar daripada setiap filem-filem ini. Ia mendatangkan keghairahan untuk kita meneliti sisi sinema yang lebih dekat dengan jiwa dan diri secara peribadi.

The White Ballon (1995) merupakan filem cereka pertama arahan pengarah Jafar Panahi dan lakon layar untuk filem ini ditulis oleh seorang lagi pembikin terkemuka Iran, Abbas Kiarostami. Jafar dan Abbas mempunyai hubungan erat dan sering terlibat dalam penghasilan karya masing-masing. The White Ballon mencatatkan kejayaan membanggakan apabila memenangi anugerah Camera d’Or semasa Festival Filem Cannes pada 1995. Filem ini terhasil dari kaca mata seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun bernama Razieh yang ingin membeli ikan emas idamannya.

Filem ini mengisi perjalanan kanak-kanak berkenaan dengan berlatarkan ambang sambutan Nowruz, tahun baharu Parsi. Filem ini membongkar realiti kehidupan di sebalik selok-belok jalan di kota Tehran. Ia disulami dengan komedi tidak terjangka dan kegetiran perjalanan yang kecil namun membawakan makna besar tentang sebuah kehidupan.

Filem ini juga mewujudkan interaksi cemerlang antara kanak-kanak dan golongan dewasa dan menjelmakan kejujuran hubungan masyarakat. Inilah adalah magis dalam sinema Iran, walaupun rupa dan skala filemnya sederhana, namun keberkesanannya dalam menjentik emosi dan nilai manusiawi amat membanggakan.

Children of Heaven (1997) sebuah lagi filem daripada pandangan kanak-kanak arahan pengarah terkenal Iran, Majid Majidi. Pada Anugerah Akademi 1998, filem ini tercalon dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Ia sekaligus menjadi filem Iran pertama dicalonkan di Oscar.

Namun begitu, nasib tidak menyebelahi Children of Heaven apabila ia tewas kepada filem Itali arahan Roberto Benigni, Life is Beautiful. Pengkritik filem, Roger Ebert menganggap filem ini merupakan sebuah filem hampir sempurna untuk kanak-kanak yang menampilkan elemen kesucian jiwa dan ketulusan hati.

Realiti kota Tehran

Ebert menilai kanak-kanak dalam filem ini muncul sebagai kanak-kanak yang polos dan jujur, ia bukan imej kanak-kanak tipikal yang muncul sebagai penyeri dalam filem-filem Hollywood dan popular. Ia membawa emosi kanak-kanak yang membuatkan penonton memahami keperitan dan keindahan kehidupan. Filem ini juga menyorot realiti kota Tehran dengan imej-imej yang mengesankan. Children of Heaven mengisahkan tentang Ali yang secara tidak sengaja menghilangkan kasut adiknya, Zahra. Disebabkan kemiskinan, Ali dan Zahra merahsiakan perkara berkenaan daripada pengetahuan ibu bapa mereka dan mereka memutuskan untuk berkongsi kasut untuk ke sekolah.

Taste of Cherry (1997) merupakan filem arahan pengarah penting Iran, Abbas Kiarostami. Pada Festival Filem Cannes 1997 filem ini berkongsi hadiah kemenangan filem terbaik (Palme d’Or) dengan filem Jepun The Eel arahan Shohei Imamura. Filem ini juga meneroka kota Tehran dengan pendekatan minimalis dan realistik. Filem ini meneroka persoalan kehidupan, kematian dan tekanan hidup yang dilalui oleh masyarakat di sekitar kota berkenaan. Ia turut membangkitkan persoalan bunuh diri yang dianggap sebagai satu kesalahan dalam amalan masyarakat Islam.

Kisahnya membawakan kita kepada watak bernama Badii yang memandu di sekitar Tehran dan mencari sesiapa yang sanggup menguburkan dirinya yang berhasrat membunuh diri. Badii menawarkan ganjaran wang tunai kepada sesiapa yang mampu mengabulkan hasratnya.

Dalam pencariannya, Badii dipertemukan dengan tiga individu yang berlainan etnik di Iran. Seorang askar muda berbangsa Kurdish, seorang lelaki Islam konservatif berbangsa Afghan dan seorang taksidermis berbangsa Azeri. Perjalanan dilalui Badii disifatkan sebuah perjalanan spiritual dan mencari diri.

Badii sedang bergelut dengan keputusannya dan berperang secara dalaman dalam menentukan takdir hidupnya. Lebih menarik filem ini ditutup secara luar biasa apabila Kiarostami memecahkan dinding keempat dan melihatkan kepada penonton bahawa ini adalah sebuah filem apabila semua kru penggambaran muncul secara tiba-tiba. Cara Kiarostami menjelmakan alam dan kesunyian adalah sangat cermat dan ia menjadikan kita faham tentang misteri yang muncul dalam kehidupan manusia. Imej-imej realistik penghuni kota Tehran juga menjadikan filem ini dekat untuk ditonton.

Kandahar (2001) mengisahkan hubungan manusiawi juga muncul melalui filem arahan Mohsen Makhmalbaf. Filem ini ditayangkan di Festival Filem Cannes pada 2001, namun tidak memenangi apa-apa anugerah di festival itu. Bagaimanapun, Kandahar menerima beberapa pengiktirafan daripada Unesco apabila dianugerahkan Federico Fellini Medal di Paris, Perancis pada tahun sama. Filem ini turut menjalani penggambaran di kem pelarian Niatak di Iran yang menempatkan pelarian dari Afghanistan.

Filem ini mengisahkan tentang seorang wartawan berbangsa Afghan yang mendapat perlindungan di Kanada semasa kecil. Beliau kemudiannya menerima surat daripada adiknya yang masih terperangkap di Afghanistan dan berhasrat membunuh diri. Dalam kegetiran ketika zaman Taliban itu, Nafas memutuskan untuk membantu menyelamatkan adiknya yang berada di Kandahar untuk menyeberangi sempadan Iran-Afghanistan. Melalui pengembaraan penuh getir itu, Mohsen meneroka landskap pertembungan politik yang berlaku.

A Separation (2011) arahan Ashgar Farhadi ini memenangi Oscar bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik pada 2012 dan seterusnya mencipta sejarah menjadi filem pertama dari Iran memenangani anugerah berkenaan. Di Oscar, filem ini turut tercalon untuk kategori Lakon Layar Asal Terbaik. Di samping itu dalam Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-61, A Separation turut mencipta sejarah menjadi filem pertama Iran yang memenangi piala Golden Bear yang membawakan gelaran filem terbaik.

Selain itu, di anugerah sama pelakon-pelakon lelaki dan wanitanya menerima anugerah Silver Bear bagi kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik. Filem ini berjaya meneroka konflik keluarga kelas pertengahan di kota Tehran yang memberi tumpuan kepada hubungan tidak harmoni pasangan suami isteri (Nader dan Simin) serta meninggalkan kesan terhadap anak perempuan mereka berusia 11 tahun (Termeh).

Ia sebuah karya tentang pergolakan kelas yang jujur dan berjaya meneroka permasalahan domestik dengan teliti. Emosi, kemarahan, kepudaran hubungan dan keretakan ikatan kekeluargaan berjaya digambarkan menyeluruh oleh Farhadi. Ia sebuah penceritaan hubungan yang kompleks melalui kecekapan pembikinnya memahami psikologi dan falsafah perkahwinan.

*Daniyal Kadir banyak menulis ulasan dan esei perfileman Malaysia serta menulis dua buku berjudul Membedah P. Ramlee dan Membedah Wayang Gambar


Pengarang :