Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharipah Marhaini Syed Ali bercakap kepada media selepas majlis perasmian Hari Terbuka @ PJ Eco Recycling Plaza sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 dan ulang tahun ke-16 Bandaraya Petaling Jaya di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 9 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ: Kawasan berkepadatan tinggi, rumah pangsa punca kes denggi meningkat

SHAH ALAM, 14 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesan beberapa lokaliti berkepadatan tinggi dan rumah pangsa penyumbang kepada peningkatan kes denggi.

Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali berkata antara kawasan dikenal pasti ialah Desa Mentari, Damansara Damai, Sri Damansara dan Bukit Lanjan.

Oleh demikian, beliau menjelaskan pihaknya sedang melaksanakan dua inisiatif iaitu mendidik dan meningkatkan penguatkuasaan.

“Kesedaran penduduk berkaitan denggi tidak mencapai tahap sepatutnya, oleh itu kita akan bekerjasama dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan.

“Manakala penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan dengan memantau kawasan seperti kebun komuniti dan persendirian selain meningkatkan tindakan undang-undang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 1 Jun lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan daerah Petaling merekodkan kes tertinggi iaitu 4,436 kes diikuti Klang (2,729); Hulu Langat (2,435); Gombak (1,188) dan Sepang 334 kes.


Pengarang :