Editor Dewan Sastera Fadli Al-Akiti ketika program Hati dan Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 3 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pavilion Selangor tampilkan sasterawan, kupas topik dekat hati masyarakat

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Pavilion Selangor menerusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 menampilkan sasterawan untuk membincangkan pelbagai topik yang dekat dengan hati masyarakat.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata Program Hati dan Minda Sasterawan yang dianjurkan pada Pesta Buku Selangor tahun lalu turut dianjurkan di PBAKL 2022.

Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad bercakap kepada Media Selangor ketika PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 3 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sudah tiba masanya kita menghargai sasterawan dan orang berilmu kerana pemikiran serta hati mereka selari. Mereka juga mengeluarkan fakta benar sekali gus masyarakat lebih terbuka dan pemimpin berani bawa perubahan.

“Antara topik dibawa melibatkan industri buku, penulisan, karya-karya dan kehidupan masyarakat. Kita akan mengupas setiap topik ini serta lebih memahami setiap tindakan diambil dalam kehidupan,” katanya.

Tambah beliau, Pavilion Selangor yang bertemakan Pendidikan Penjana Pendapatan menggambarkan sektor pendidikan selari dengan perkembangan ekonomi negeri.

“Fokus kita adalah memaparkan kemajuan di Selangor apabila menjaga pendidikan bermula dari tadika hingga ke universiti dan melangkah ke alam pekerjaan.

“Sebanyak 18 agensi terlibat iaitu pendidikan bermula dengan kanak-kanak, biasiswa, peluang pekerjaan dan pengambilan bahasa ketiga,” katanya.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 19 agensi terlibat seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Invest Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Tourism Selangor.

Program Hati dan Minda Sasterawan menampilkan beberapa sasterawan antaranya Prof Emeritus Dr Muhamad Haji Saleh, Fadli Al-Akiti serta Helmy Samad yang merupakan anak A Samad Said.

PBAKL 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :