Penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman yang didakwa atas dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah keluar dari mahkamah selepas prosiding sebutan kes yang dihadapinya pada 18 Mei 2022. Foto Facebook Bernama TV
AGENDANASIONAL

Pertuduhan penyanyi Yasin tanam 17 pokok ganja kekal

PETALING JAYA, 22 JUN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa pertuduhan menanam 17 pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara yang dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, dikekalkan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, berkata ia berdasarkan laporan kimia yang diperoleh pihak pendakwaan petang semalam.

“Bagi kes ini, pertuduhan dikekalkan dan pihak kami memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen kepada pihak pembelaan,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat.

Peguam Ariff Azami Hussien, yang mewakili Muhammad Yasin, 47, berkata pihaknya berterima kasih kepada pendakwaan kerana dapat menyiapkan laporan kimia itu dalam tempoh masa yang singkat dan memohon dua minggu untuk tarikh sebutan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohd Asnawi berkata hasil laporan kimia itu mengesahkan 17 pokok itu adalah pokok ganja.

Pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis boleh diperoleh sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya di Kondominium Casa Indah, Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majistret Zhafran Rahim Hamzah turut menetapkan tarikh sama (6 Julai) untuk sebutan semula kes bagi pertuduhan mengedar dadah dihadapi Muhammad Yasin selepas Mohd Asnawi memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut mengenai laporan kimia berhubung kes itu (edar dadah) yang diperoleh semalam.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dijatuhkan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kelihatan isteri, dan anak perempuan Muhammad Yasin berusia 14 tahun serta ahli keluarga penyanyi itu hadir ke mahkamah hari ini.

Sebelum masuk ke bilik mahkamah, Muhammad Yasin yang memakai baju kemeja-T berwarna hitam dan berseluar putih sempat mengucapkan ‘Assalamualaikum’ kepada pihak media dan mengucapkan takziah di atas pemergian penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar serta rakan baiknya, Mujahid Abdul Wahab.

Sementara itu, seorang lagi peguam Muhammad Yasin, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff memberitahu pemberita, anak guamnya memerlukan rawatan pakar untuk penyakit bipolar di hospital yang mempunyai rekod penyanyi itu.

“Saya difahamkan, sebelum ini Yasin sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, namun ia bukan tempat yang sesuai. Lebih baik Yasin dapatkan rawatan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Pantai Kuala Lumpur yang mempunyai rekod kesihatannya,” kata peguam itu.

– BERNAMA


Pengarang :