Guru memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak di taska
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Subsidi RM100 yuran taska masih boleh dimohon menerusi Asuh Pintar

SHAH ALAM, 11 JUN: Subsidi yuran taska atau pusat jagaan kanak-kanak berjumlah RM100 di bawah Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) bagi sesi 2022 masih boleh dimohon.

Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerusi Facebook memaklumkan permohonan terbuka kepada ibu bapa yang mempunyai anak berusia empat tahun ke bawah.

“Melalui skim ini, ibu bapa yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima bantuan yuran taska atau pusat jagaan sebanyak RM100 setiap bulan.

“Bantuan tersebut akan dibayar terus kepada taska atau pusat jagaan anak-anak mereka,” menurutnya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi asuhpintar.yawas.my dengan pemohon perlu menghantar dokumen lengkap diperlukan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Dokumen tersebut adalah salinan sijil kelahiran anak; salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan serta salinan surat perakuan anak angkat/cerai/sijil kematian/pengesahan ibu tunggal/sakit (jika perlu).

Selain itu, dokumen lain iaitu cop pengesahan taraf mastautin (bagi bukan Selangor); dokumen sokongan atau surat akuan sumpah (bagi kes khas) dan slip gaji terkini pemohon dan pasangan.

Berikut antara syarat kelayakan permohonan:

– Warganegara Malaysia
– Lahir serta menetap di Selangor atau tidak dilahirkan di Selangor tetapi menetap sekurang-kurangnya lima tahun
– Pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah
– Suami dan isteri bekerja
– Anak berumur empat tahun ke bawah
– Terhad kepada dua anak sahaja
– Taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
– Ibu dan bapa pengundi berdaftar di Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia


Pengarang :