BUDAYARENCANA

Tiba-tiba mati

Oleh  Fudzail

(1)

Tiba-tiba hari Raya.

Riuh. Kelam-kabut. Hura-hara. Mengejut. Panik. Netizen kena scam nampaknya. Lepas dua tahun tak dapat balik kampung beraya, akhirnya beraya juga walaupun mengejut. Namun Ramadan yang tiba-tiba meninggalkan yang masih mengharapkan sehari lagi barokah-Nya.

“Kenapa kita meletakkan kepercayaan kepada kalendar kuda dalam menentukan puasa dan Raya. Sedangkan kita ada kalendar hijrah untuk menentukan puasa dan Raya?” kata seorang ustaz di Facebook yang dibaca Ezlinda. Riuh diperkatakan dalam media sosial dengan pelbagai komen tidak puas hati, tiba-tiba hari Raya.

Kelam-kabut untuk membeli barangan mentah, mengemas rumah, pulang ke kampung. Kelam-kabut bila tiba-tiba pengumuman seperti yang tidak dijangkakan kebanyakan orang. Kelam-kabut mencari ayam dan daging. Kelam-kabut kedai runcit dan pasaraya terpaksa beroperasi sampai awal pagi. Ezlinda mendengus dengan dua beradik yang masih belum pulang sehingga esok dan melihat rumah kelam-kabut. Abahnya bergaya dalam Facebook.

Di rumah, mak kelam-kabut memasang langsir, mengemas rumah. Kelam-kabut abah kerana belum menunaikan zakat fitrah. Kelam-kabut Ezlinda belum selesai mengemas rumah. Kelam-kabut semua menunggu jahitan baju raya belum siap. Kelam-kabut adik-adik mengambil cuti bermula sehari selepas Raya dan balik esok. Kelam-kabut adik-adik di perantauan mengemas beg di asrama. Kelam-kabut kerana habis semua jalan sesak teruk sebab semua orang secara last minute balik kampung.

Kelam-kabut dari sudut aturan cuti dan produktiviti ekonomi. Kelam-kabut adanya sedikit potensi masalah permintaan dan pembekalan dalam rantaian bekalan. Kelam-kabut dengan isu berkaitan cuti kerana pada kalendar cuti yang asal, masih lagi cuti umum. Kelam-kabut adik-adik terpaksa membeli tiket baharu bagi memastikan tidak terlepas bas.

Ezlinda yakin hari Raya tahun ini menjadi sejarah paling indah yang tidak dapat dilupakan kerana tiba-tiba hari Raya. Memang diluar jangkaan. Tiba-tiba hari Raya.

(2)

Keluarga Ezlinda yang tidak bersiap langsung untuk tiba-tiba Raya. Sejak awal Ezlinda sudah rancang untuk masak nasi lemak di pagi Raya sebab tak hendak buat menu yang berat-berat. Ezlinda telah menyiapkan barang lain tetapi terkilan jugalah sebab tidak dapat hendak membeli daging dan ayam. Sepatutnya nasi lemak itu ada ayam goreng rangup dengan masak rendang daging tetapi esoknya sudah Raya. Mana hendak dapat daging dan ayam.

Dengan terburu-buru di pagi Raya itu, terjadilah nasi lemak sambal sotong. Hanya sambal kosong sebab mak dan abah tidak boleh makan ikan bilis. Ezlinda masak ikan goreng rangup, kacang goreng, timun dan telur rebus. Ezlinda dan adik-adik yang balik dari universiti melantak nasi lemak.

Hati mahu makan ketupat, lemang dan rendang. Langsung tidak boleh masak sebab tidak sempat. Kueh dan biskut raya lagi, sebab tidak layan kalau awal-awal. Selalunya waktu habis Raya baru rasa nak cari.

Tiba-tiba hari Raya.
Baju raya tidak payah tanya sebab adik baru balik pada hari Raya dan tidak sempat hendak basuh lagi, terperuk dalam plastik. Rumah pun berkemas ala kadar sebab tidak jangka tiba-tiba Raya. Nasib baik ruang dapur sempat kemas sebab ramai saudara mara datang terus masuk dapur untuk makan nasi lemak.

Semua kelam-kabut masak. Ada rendang, nasi impit, lemang masih di kedai dan alih-alih Raya. Namun apa pun, Raya tetap Raya walaupun kelam-kabut Raya. Nasib sempat jugak masak nasi lemak walaupun sampai tengah malam. Barang pun memang dah beli jadi semua barang sudah ada. Tinggal mahu masak sahaja.

Kemudian, kejutkan abah dari tidur dengan emak di dapur. Tidak sedar dan tidak bangun abah di hari kedua Raya.

“Abah, bangun sudah subuh.”

Tiba-tiba Ezlinda perasan abah tidak bergerak. Abah sudah tidak bernyawa. Tiba-tiba meninggal dunia, di subuh tiba-tiba Raya.

(3)

Semua terperanjat dan terkejut bila dimaklumkan kematian abah subuh hari Raya kedua. Tidak berbual kerana kelam-kabut tiba-tiba Raya. Abah sibuk mengemas kini Facebooknya dengan gambarnya yang segak bergaya berbaju melayu, bergembira menyambut hari Raya. Bergambar dengan keluarga dan sanak saudara. Rupanya itu gambar terakhir berposing sakan dengan henfon.

Tiba-tiba hari Raya kelam-kabut dengan kematian, apa lagi abah disahkan jangkitan COVID-19. Dikuburkan tanpa keluarga dan sanak saudara. Habis sekeluarga kena kuarantin.

“Bagaimana tentang harta pusaka?” Pertanyaan bapa saudaranya, Kamarulzaman, adik lelaki abah seorang.

Ezlinda terkejut dengan soalan itu. Abahnya tidak pernah menyatakan harta pusaka apalagi tiada orang yang boleh secara tepat meramalkan bila dia akan mati. Malah lebih ramai lagi orang yang sentiasa berfikiran dia akan mati pada umur yang tua.

Ezlinda anak pertama dengan dua adik perempuan dan tidak tahu pasal harta pusaka dan perancangan abah. Lantas Ezlinda memandang kosong ke arah Kamarulzaman. “Ada wasiat atau tidak, ada hibah pada sesiapa?”

(4)

“Rasulullah SAW pun berpesan kepada kita bahawa orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan untuk mati.” Kamarulzaman memulakan diskusi pada Raya keempat. Pengalaman tiba-tiba mati tidak akan jadi seindah pengalaman melalui tiba-tiba Raya.

“Paling asas sekali yang menjadi keperluan di dalam pengurusan harta pusaka ialah pengumpulan dokumen yang lengkap.” Emak dan adik beradik Ezlinda semua diam. Nampak tidak faham. “Untuk menguruskan harta pusaka, kita memerlukan dokumen seperti perjanjian jual-beli hartanah, hak milik tanah, maklumat akaun bank, Tabung Haji, akaun pelaburan, polisi takaful, sijil nikah dengan pasangan dan kad pengenalan waris mengikut hukum faraid.

“Kalau arwah memiliki saham dalam syarikat, segala maklumat berkaitan saham diperlukan. Selain maklumat harta, maklumat hutang juga diperlukan. Dengan siapa dan institusi mana arwah berhutang.”
Kamarulzaman terus bercakap kerana dia lebih faham hukum faraid. “Susahnya nak dapatkan dokumen dan maklumat jika arwah tak tahu di mana disimpan. Kalau berlaku tiba-tiba mati, maka waris yang ditinggalkan akan lebih kabur.” Mana nak cari semua dokumen dan maklumat arwah dengan harta pusaka? Menjadi beban yang sangat berat untuk diuruskan oleh mak, Ezlinda dan adik-beradik.

(5)

Ezlinda baru bekerja sebagai cikgu, dua adik-beradik masih di universiti. Emaknya hanya suri rumah dan abahnya pegawai bank. Terpaksa meminta Kamaruzaman mengambil inisiatif untuk memulakan prosiding tuntutan harta pusaka. Nasib baik Kamaruzaman menanggung semua kos bersendirian.

Semua ahli keluarga berminat agihan harta pusaka yang mereka tiba-tiba dapat mengikut ketetapan hukum faraid. Bolehkah waris-waris ini berkompromi dengan baik antara satu sama lain, tanya hati Ezlinda. Mereka tidak pernah pun terfikir untuk mempunyai hak ke atas rumah, tanah, wang tunai, kenderaan sport si mati tetapi mereka tiba-tiba dapat.

Apakah mereka berkompromi atau mereka bergaduh habis-habisan untuk mendapatkan hak? Termenung Ezlinda kerana abahnya tiba-tiba mati.


Pengarang :