Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendeklamasi puisi karya A. Samad Said sempena Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun (salina) di Pavilion Selangor PBAKL Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 12 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar gesa keputusan naik gaji wakil rakyat Sabah tidak diteruskan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menaikkan gaji wakil rakyat saat orang ramai sedang bergelut dengan kos sara hidup amat dikesali.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesa agar keputusan berkenaan tidak diteruskan dengan mengambil kira kepayahan yang sedang ditanggung rakyat berbanding kepentingan sendiri.

“Saya kesal dengan keputusan ini sedangkan rakyat sedang bergelut dengan permasalahan kos sara hidup yang tinggi.

“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin agar sentiasa mementingkan kebajikan rakyat berbanding kepentingan diri mereka, terutamanya waktu yang sangat memprihatinkan saat ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Persidangan DUN Sabah meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Media melaporkan, usul Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor diluluskan dengan suara terbanyak.

Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50), Menteri RM16,335 (RM22,869).

Selain itu, saraan Speaker DUN daripada RM16,335 sebulan turut dinaikkan kepada RM22,869, Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787), Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787), ADUN RM7,950 (RM11,130) dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).


Pengarang :