EXCO Perumahan Rodziah Ismail (kanan) menyampaikan sumbangan tilam dan bantal kepada mangsa banjir ketika Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An-Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bah Baling: Penduduk berputih mata, harta benda musnah sekelip mata

BALING, 22 JULAI: Seorang suri rumah pasrah apabila harta benda dari kediamannya dihanyutkan arus deras dalam insiden banjir di Baling, Kedah awal bulan ini.

Noor Idayu Abd Hamid, 35, menyifatkan kejadian itu terburuk pernah dialami sejak menetap di situ dengan air naik sehingga tujuh kaki dalam tempoh singkat.

“Dahulu jika air naik sekalipun kami boleh tumpang rumah kakak ipar tetapi kali ini semua kena pindah ke pusat pemindahan. Saya sedih dan pasrah dengan kejadian ini.

“Syukur ada bantuan dari orang ramai terutama Kerajaan Selangor yang banyak bantu bersihkan rumah hingga beri bantuan tunai dan tilam,” katanya yang berjiran bersama lima beradik lain.

Noor Idayu Abd Hamid, 35, (dua, kanan) bersama ahli keluarganya yang turut menjadi mangsa banjir ketika majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir menerusi Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An-Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pesara tentera Zakaria Abd Aziz, 43, tidak menyangka menerima sumbangan daripada Selangor dalam pelbagai bentuk termasuk wang ringgit bagi menyantuni mangsa bah.

Biarpun jumlahnya tidak besar untuk menampung kerugian dialami, namun dia tetap bersyukur ada pihak yang prihatin termasuk membantu membersihkan kediaman.

“Terima kasih atas bantuan diberikan dan sanggup datang jauh untuk bersihkan rumah dan beri sumbangan,” katanya.

Mereka antara ratusan keluarga yang menerima bantuan kewangan dan keperluan asas rumah menerusi Misi Selangor Penyayang 2.0 yang disertai tiga EXCO negeri semalam.

Pada 6 Julai, misi pertama disertai 262 anggota pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan membantu membersihkan kediaman mangsa dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu.

 


Pengarang :