Exco Perumahan Rodziah Ismail (dua, kiri) menandatangani plak ketika merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Pangsapuri Ruvena Villa, Sepang pada 22 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri sedia perumahan mampan, berdaya huni demi keselesaan rakyat

OLEH NORZILAWATI SIDEK

SEPANG, 22 JULAI: Pembinaan kediaman khususnya unit berstrata dibangunkan secara mampan supaya memberi keselesaan kepada penduduk, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata ia selaras dengan agenda Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan Selangor sebagai tempat tinggal berdaya huni.

“Kerajaan memikirkan pembangunan yang mampan iaitu sampai bila-bila boleh diguna pakai dan berfungsi dengan baik.

“Setiap pembangunan mestilah digandingkan dengan penyelenggaraan yang baik seperti bangunan, jalan dan taman,” katanya hari ini.

Terdahulu, Rodziah merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Selangor (SDG 11) di Pangsapuri Ruvena Villa, di sini.

Beliau berkata, dana RM140,000 dimanfaatkan sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Sepang dengan menaik taraf beberapa kemudahan di kawasan lapang di pangsapuri berkenaan seperti tempat senaman, taman permainan kanak-kanak, kolam, wakaf, tapak refleksologi selain pemasangan lampu solar dan papan tanda.

Exco Perumahan  Rodziah Ismail (dua, kanan) meninjau  taman rekreasi Pangsapuri Ruvena Villa, Sepang selepas majlis Perasmian Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di sini pada 22 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Rodziah, Selangor  menitikberatkan aspek penyelenggaraan bagi memastikan kepadatan penduduk di perumahan berstrata dalam keadaan baik dan selamat.

“Kita tidak mahu lihat sesuatu kawasan yang dulunya orang suka pergi tapi akhirnya ditinggalkan, sampai masa dilupakan.

“Pembangunan fizikal amatlah mudah tetapi menguruskan manusia sebenarnya lebih mencabar,” katanya.


Pengarang :