Atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Datuk Pandelela Rinong bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara akhir 10 Meter platform seirama wanita pada Kejohanan Dunia 2022. Foto Facebook Majlis Sukan Negara
AGENDASUKANKINI

Kejohanan Dunia: Pandelela-Dhabitah raih gangsa 10M platform seirama

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Gandingan penerjun wanita Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri berjaya menambah koleksi pingat kem terjun negara apabila meraih pingat gangsa menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada Kejohanan Dunia 2022, lewat malam tadi.

Gandingan Pandelela-Dhabitah di Arena Duna di Budapest, Hungary berjaya mengumpul 298.68 mata selepas melakukan lima terjunan secara keseluruhan.

Pingat emas milik penerjun dari China menerusi gandingan juara Olimpik serta dunia, Quan Hongchan dan rakannya Chen Yuxi yang mengumpul 368.40 mata.

Sementara, pingat perak diraih penerjun dari Amerika Syarikat, Delaney Schnell-Katrina Young yang mengumpul 299.40 mata.

Pada Selasa lalu, kem terjun negara memulakan kempen kejohanan dunia itu dengan meraih pingat gangsa menerusi Pandelela bagi acara 10m platform wanita.

– BERNAMA


Pengarang :