Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama guru besar selepas menyampaikan bantuan sekolah dan sijil penghargaan sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: RM6.9 juta dibelanja sedia keperluan sekolah sekitar Petaling

PETALING JAYA, 24 JULAI: Kerajaan Selangor menyalurkan bantuan RM6.9 juta bagi memenuhi keperluan 221 sekolah sekitar Petaling pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diserahkan kepada semua jenis sekolah berdasarkan permohonan yang dibuat sehingga 31 Mei lalu.

“Program bantuan kepada sekolah diteruskan tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM26 juta. Hari ini kita serahkan kepada 10 sekolah sebagai simbolik.

“Jumlah yang diperoleh setiap sekolah berbeza bergantung kepada keperluan,” katanya pada sidang media sempena Jelajah Iltizam Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Antara sekolah menerima bantuan ialah Sekolah Rendah Islam (SRI) Integrasi Masjid Darul Ehsan, Sekolah Agama Rendah (SAR) Kafa Integrasi Setia Alam, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut memperoleh bantuan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Damansara, SJKC Damansara, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda Petaling Jaya, SJKT Sungai Renggam, SMK Assunta dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Khatolik.

Amirudin memaklumkan agihan bantuan sekolah siri kedua dijangka bermula selewat-lewatnya September depan.

“Permohonan yang diterima akan dianalisa dan disemak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selain nasihat daripada EXCO terlibat,” katanya.


Pengarang :